KUALA LUMPUR – Hujan lebat dan angin kencang yang melanda petang Isnin menyebabkan kejadian pokok tumbang di beberapa kawasan sekitar ibu kota.
Kejadian kira-kira jam 3 petang itu turut mengakibatkan kesesakan lalu lintas di beberapa lokasi utama.
Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya menerima beberapa panggilan kecemasan berhubung insiden itu antara jam 3.30 petang hingga 7 malam.
“Susulan itu, pasukan bomba dikerahkan ke kawasan terjejas untuk menjalankan kerja pembersihan, pemotongan pokok serta memastikan keselamatan awam,” katanya.
Antara kawasan yang terlibat termasuk Jalan Tempinis, Lorong Maarof, simpang Asasi Universiti Malaya, Jalan Medang Kapas, Jalan Kebun Bunga, Jalan Cenderasari, Sri Desa Entrepreneur Park, Desa Putra Condominium, Wangsa Maju, Jalan Langkawi Taman Setapak, Kolej Vokasional Jalan Genting Klang, Kuarters Polis Kelumpuk Cempaka dan Jalan Midah Tengah.
Beberapa kenderaan turut dihempap pokok dalam kejadian tersebut, namun keadaan berjaya dikawal.
Pihak bomba Kuala Lumpur juga bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) termasuk Skuad Kecemasan, Bahagian Alam Sekitar dan Jabatan Kesihatan bagi menyalurkan bantuan serta membersihkan kawasan terjejas.
Pasukan bomba menegaskan mereka berada dalam keadaan siap siaga menghadapi sebarang kemungkinan berikutan ramalan cuaca buruk dijangka berterusan dalam tempoh terdekat.
Terdahulu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri pada petang Isnin.
Dalam kenyataan tengah hari itu, MetMalaysia memaklumkan cuaca buruk dijangka melanda Bentong di Pahang, selain beberapa kawasan di Selangor (Klang, Gombak dan Petaling) serta Kuala Lumpur.
Keadaan sama turut diramal melanda Negeri Sembilan (Jelebu) dan Johor (Kluang, Mersing, Pontian, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru).
Di Sabah, kawasan pedalaman (Nabawan), Pantai Barat (Kota Kinabalu dan Tuaran) serta Sandakan (Tongod, Kinabatangan dan Sandakan) turut dijangka mengalami cuaca serupa.
Sementara itu di Sarawak, kawasan terjejas ialah Mukah (Dalat dan Mukah), Bintulu (Tatau dan Bintulu) serta Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi).