SHAH ALAM – Tanpa pelaksanaan penyasaran subsidi petrol RON95, golongan berpendapatan tinggi (T20) akan terus menerima manfaat lebih besar berbanding rakyat berpendapatan rendah (B40).
Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, keadaan itu berlaku kerana setiap kali kerajaan membelanjakan subsidi, keluarga berada memperoleh bahagian lebih besar berbanding isi rumah B40.
“Jika penyasaran semula subsidi RON95 itu tidak dibuat, bagi setiap RM1 subsidi RON95 yang dibelanjakan kerajaan, keluarga T20 akan mendapat 75 peratus lebih banyak subsidi berbanding keluarga B40.
“Negara juga akan terdedah kepada kesan turun naik harga minyak mentah dunia yang tidak menentu,” katanya menerusi satu hantaran video di Facebook miliknya pada Isnin.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan harga petrol RON95 diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September ini di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95).
Beliau berkata, langkah itu hanya melibatkan rakyat Malaysia manakala bukan warganegara perlu membayar pada kadar RM2.60 seliter selepas tarikh berkenaan.
Justeru, Rafizi menegaskan penyasaran semula subsidi adalah langkah tepat bagi memperbetulkan dasar supaya manfaat kerajaan sampai kepada kumpulan sasaran.
“Jawapan saya konsisten dari dahulu bahawa keputusan menyasarkan semula subsidi adalah baik untuk negara kerana ia memperbetulkan sasaran bantuan kerajaan, daripada kumpulan lebih berada yang sebelum ini menerima lebih banyak, kepada kumpulan lebih memerlukan,” ujarnya lagi.
Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, langkah tersebut penting kerana penggunaan petrol RON95 negara dianggarkan mencecah 1.3 hingga 1.5 bilion liter sebulan, sekali gus menyebabkan kerajaan menanggung kos subsidi tahunan yang besar.
“Tanpa penyasaran semula subsidi, anggaran jumlah subsidi tahunan RON95 adalah sekitar RM10 hingga RM12 bilion setahun berbanding perbelanjaan 2023 dan 2024 yang melebihi RM20 bilion setahun apabila harga minyak mentah dunia naik melebihi AS$80 setong,” katanya.
Beliau berpandangan majoriti ahli ekonomi juga pastinya bersetuju bahawa penyasaran semula subsidi RON95 adalah satu keperluan dalam reformasi ekonomi negara.