BUDI95: Kerajaan tanggung sepenuhnya tukar cip Mykad secara percuma

Iklan
Kerajaan tanggung kos penuh penukaran cip MyKad rosak di JPN dari 23 September hingga 7 Oktober bagi pastikan rakyat tidak tercicir daripada subsidi petrol bersasar BUDI95. Foto Bernama (Gambar kecil: Saifuddin Nasution)

PUTRAJAYA – Kerajaan menanggung sepenuhnya kos penukaran cip MyKad rosak bagi memastikan rakyat tidak berdepan masalah menikmati subsidi bersasar di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95).

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kemudahan itu diberikan secara percuma di semua kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bermula 23 September hingga 7 Oktober depan.

Iklan
Iklan

“Kerajaan prihatin untuk menanggung sepenuhnya kos tersebut dalam tempoh ini bagi memastikan akses rakyat kepada subsidi ini tidak akan sekali-kali terjejas hanya kerana masalah teknikal pada MyKad,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, langkah itu selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berhubung pelaksanaan inisiatif BUDI95.

Iklan

Sebelum ini, setiap pertukaran MyKad akibat kerosakan cip dikenakan caj pemprosesan sebanyak RM10.

Mengikut rekod JPN, sebanyak 294,715 permohonan penggantian MyKad rosak direkodkan antara Januari hingga Ogos 2025.

Iklan

Trend permohonan turut menunjukkan peningkatan ketara sejak tiga bulan kebelakangan ini, iaitu 32,819 permohonan pada Jun, meningkat kepada 40,371 pada Julai.

Jumlah itu melonjak lagi kepada 45,411 pada Ogos, manakala bagi bulan September sehingga 21 haribulan sahaja, sebanyak 22,858 permohonan telah diterima.

“Berdasarkan purata dua bulan terkini, JPN menganggarkan sekitar 43,000 cip MyKad rosak setiap bulan.

“Kos keseluruhan bagi penukaran percuma ini dianggarkan mencecah RM714,660 termasuk kos lain yang berkaitan,” jelas beliau.

Saifuddin turut mengingatkan rakyat supaya memastikan MyKad sentiasa berada dalam keadaan baik.

“MyKad bukan sahaja dokumen pengenalan diri, tetapi juga kunci kepada pelbagai kemudahan kerajaan termasuk subsidi bersasar BUDI95,” tegasnya.

Beliau menegaskan bahawa kerajaan berpegang kepada prinsip kepedulian dan inklusiviti bagi memastikan tiada rakyat yang tercicir daripada manfaat yang dijanjikan.