PUTRAJAYA – Pelaksanaan program Budi Madani RON95 (BUDI95) oleh Kerajaan Madani mencerminkan satu reformasi berwawasan jauh dalam mencegah ketirisan subsidi berbilion ringgit yang berlaku setiap tahun.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, reformasi itu memastikan subsidi bersasar petrol RON95 hanya dinikmati oleh warganegara Malaysia dan menutup ruang ketirisan yang sebelum ini turut dimanfaatkan oleh warga asing yang tidak membayar cukai.
“Dengan BUDI95, subsidi kerajaan kini disalurkan secara tepat dan adil, khas untuk warganegara Malaysia.
“Inilah bukti Kerajaan Madani yang tegas dalam membela nasib rakyat sambil memastikan kewangan negara kita lebih mampan dan stabil," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September ini menerusi inisiatif BUDI95.
Menurut beliau, langkah itu hanya melibatkan rakyat Malaysia, manakala bukan warganegara perlu membayar pada kadar RM2.60 seliter selepas tarikh berkenaan.
BUDI95 layak dinikmati semua warganegara Malaysia yang mempunyai MyKad dan lesen memandu yang sah melibatkan siling kelayakan 300 liter sebulan dengan pengecualian untuk pemandu e-hailing.
Prosesnya pula mudah melalui MyKad di pam minyak, kaunter atau aplikasi Setel atau Touch ’n Go.
Kor Ming menambah, langkah melaksanakan BUDI95 juga mencerminkan kesungguhan Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Anwar dalam menyeimbangkan kebajikan rakyat dengan amanah dan tanggungjawab serta menjaga fiskal kewangan negara.
“BUDI95 bukan sahaja mengurangkan kos sara hidup rakyat, harga petrol RM1.99 satu liter antara paling murah di dunia, malah ia juga menghentikan kebocoran subsidi yang merugikan negara sejak kemerdekaan.
“Inilah semangat Malaysia Madani dengan memastikan tiada yang tertinggal dan setiap sen dibelanjakan memberi manfaat sebenar kepada rakyat,” katanya.