SHAH ALAM - Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mencadangkan kerajaan memperkukuhkan penggunaan pendigitalan pintar dan mengintegrasikan data supaya kelayakan subsidi Budi Madani RON95 (BUDI95) dapat disahkan secara automatik di belakang sistem tanpa membebankan pengguna di stesen minyak.
Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, reformasi menyeluruh ke arah model subsidi yang lebih pintar perlu digerakkan agar manfaatnya benar-benar disasarkan kepada rakyat yang memerlukan.
"Integrasikan data antara Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan agensi berkaitan yang lain.
"Langkah ini bukan sahaja mengurangkan kesesakan dan mengelakkan kerumitan manual, malah akan menjadikan Malaysia lebih bersedia untuk melaksanakan model subsidi pintar pada masa depan," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim terdahulu dilaporkan berkata, semua rakyat Malaysia akan menerima siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter bagi subsidi petrol RON95 menerusi program BUDI95 yang berkuat kuasa 30 September ini.
Kata Anwar, langkah itu bertujuan memastikan subsidi diagih secara adil kepada pengguna yang layak selain mengelakkan ketirisan.
Ahmad Fahmi berkata, ABIM berpandangan bahawa dasar itu perlu dilaksanakan dengan penuh teliti agar tidak menjejaskan kesejahteraan rakyat khususnya golongan rentan.
"Subsidi petrol sememangnya menjadi nadi kepada mobiliti rakyat dan akses ekonomi maka kerajaan perlu memastikan manfaatnya lebih dirasai oleh kelompok yang paling bergantung kepada bahan api ini termasuk golongan B40, pekerja gig, petani, dan nelayan.
"Selain itu, keberkesanan pelaksanaan BUDI95 amat bergantung kepada infrastruktur sokongan seperti sistem MyKad, pembaca kad dan aplikasi digital. Justeru, ABIM menggesa agar semua sistem berfungsi dengan baik sebelum tarikh kuat kuasa bagi mengelakkan kekecohan di stesen minyak," ujarnya.
Menurutnya, kerajaan juga wajar mempertimbangkan tempoh percubaan penggunaan sistem itu yang lebih panjang khususnya di kawasan luar bandar yang berisiko menghadapi masalah capaian teknologi.
Tambahnya, langkah penyasaran subsidi petrol RON95 di bawah BUDI 95 dilihat menepati janji kerajaan untuk memastikan subsidi benar-benar dinikmati oleh rakyat Malaysia.
Jelasnya, di samping itu ia juga dapat menangani ketirisan yang selama ini turut menguntungkan syarikat besar serta golongan bukan warganegara.
Bagaimanapun, Ahmad Fahmi berpandangan langkah penyasaran subsidi tersebut berpotensi menimbulkan kesan rantaian terhadap kos logistik, makanan asas dan pengangkutan awam.
Berikutan itu, katanya, ABIM menekankan keperluan kerajaan menyediakan langkah mitigasi yang jelas termasuk menggunakan penjimatan subsidi untuk menyokong tambang awam serta menstabilkan kos sara hidup rakyat secara menyeluruh.
Ahmad Fahmi menegaskan, secara keseluruhannya dasar penyasaran subsidi RON95 itu mesti dilihat bukan semata-mata sebagai langkah fiskal tetapi sebagai dasar yang mencerminkan nilai keadilan sosial, keterangkuman dan penyantunan rakyat.
"Subsidi bahan api adalah hak rakyat yang wajib dilindungi oleh negara. Pelaksanaan yang adil, telus dan berpihak kepada rakyat akan memperkukuh iltizam Kerajaan Madani untuk memartabatkan Malaysia sebagai negara sejahtera dan bermaruah serta menjadi contoh dan ikutan kepada negara lain," katanya lagi.