Pendakwaan kemuka 28 alasan batal pembebasan Syed Saddiq

Iklan
Syed Saddiq

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pihak pendakwaan mengemukakan 28 alasan di Mahkamah Persekutuan di sini bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini melepas dan membebaskan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman daripada empat pertuduhan jenayah berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada).

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan bahawa petisyen rayuan telah difailkan dengan menamakan Syed Saddiq, 33, sebagai responden.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Mahkamah Persekutuan sebagai mahkamah tertinggi wajar mengembalikan semula sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi pada 9 November 2023, sekali gus mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 25 Jun lalu.

Daripada 28 alasan dikemukakan, 15 daripadanya melibatkan tuduhan bersubahat pecah amanah di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan, sembilan alasan lagi berkaitan kes salah guna harta di bawah Seksyen 403 kanun sama, manakala empat selebihnya berkaitan dua kes mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Wang Haram 2001.

Iklan

Mengikut petisyen yang difailkan, perayu berkata, panel Hakim Mahkamah Rayuan terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila menuduh pihak pendakwaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi tekanan terhadap saksi pendakwaan ke-13, Rafiq Hakim Razali, yang juga bekas Penolong Bendahari Armada dan saksi utama kes.

Perayu berkata, SP13 dikatakan memberikan keterangan bagi menyenangkan hati pihak SPRM dan menyesuaikan keterangan untuk kes pihak pendakwaan, walhal tiada sebarang keterangan menyokong tuduhan tersebut.

Iklan

"Mahkamah Rayuan juga terkhilaf dari segi undang-undang dan fakta apabila melakukan pendekatan yang salah, dalam menilai keterangan pihak pendakwaan dengan mempunyai pemikiran bahawa kami telah menggunakan SP13 untuk memberikan keterangan yang tidak memihak responden.

"Mahkamah Rayuan terkhilaf apabila tidak menerima keterangan yang tidak memihak responden sebelum pengeluaran wang RM1 juta milik Armada pada 6 Mac 2020 sedangkan keterangan tersebut amat relevan bagi menunjukkan elemen niat jahat dan tidak jujur di pihak responden," katanya.

Selain itu beliau berkata, Hakim Mahkamah Rayuan terkhilaf kerana gagal mengambil kira bahawa perayu telah membuktikan SP13 melakukan kesalahan pecah amanah di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan.

Katanya, perkara tersebut juga melibatkan kegagalan untuk mempertimbangkan bahawa kesalahan persubahatan yang dilakukan responden mempunyai hubung kait dengan perbuatan pecah amanah jenayah oleh SP13.

Menurutnya, tanpa arahan responden, SP13 tidak akan melakukan kesalahan pecah amanah jenayah itu.

"Susulan itu, perayu memohon Mahkamah Persekutuan mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan dan mengembalikan perintah sabitan dan hukuman Mahkamah Tinggi terhadap responden," katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq melakukan pecah amanah melibatkan dana berjumlah RM1 juta.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram.

Pada 9 November 2023, bekas Menteri Belia dan Sukan itu dihukum penjara tujuh tahun, denda RM10 juta dan dua sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini selepas didapati bersalah atas empat pertuduhan bersubahat pecah amanah, salah guna harta dan AMLA.

Mahkamah memutuskan demikian selepas pihak Syed Saddiq gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Bagi kesalahan bersubahat melakukan pecah amanah di bawah Seksyen 406 Kanun Keseksaan, bekas Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) itu dihukum penjara selama tiga tahun dan satu sebatan.

Sementara satu pertuduhan menyalah guna harta untuk diri sendiri di bawah Seksyen 403 kanun sama, dia dihukum penjara dua tahun dan satu sebatan.

Mahkamah memerintahkan dua hukuman penjara itu dilaksanakan secara berasingan.

Bagi pertuduhan kes AMLA, dia dikenakan hukuman penjara dua tahun dan denda RM5 juta bagi setiap pertuduhan.

Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan hukuman penjara berjalan serentak dan tambahan dua tahun, jika gagal membayar denda tersebut.

Namun, pada 25 Jun lalu, Mahkamah Rayuan membebaskan beliau daripada semua sabitan dan hukuman tersebut.