KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan penerimaan positif terhadap pelaksanaan Program Budi Madani RON95 (BUDI95) yang akan mula berkuat kuasa pada 27 September ini, khususnya bagi warga polis.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, sebagai institusi penguatkuasaan undang-undang yang mendukung aspirasi Malaysia Madani, PDRM melihat inisiatif tersebut sebagai bukti keprihatinan kerajaan terhadap kebajikan rakyat.
Menurutnya, inisiatif berkenaan bukan sahaja meringankan beban kos sara hidup, malah memperkukuh kesejahteraan sosial dan kestabilan negara, selain membuktikan kesungguhan kerajaan memastikan bantuan sampai kepada golongan sasar secara adil dan berkesan.
“PDRM percaya inisiatif BUDI95 akan memberi implikasi positif kepada warga pasukan yang bertugas di seluruh pelosok negara.
“Pengurangan beban kos bahan api secara langsung dapat meningkatkan motivasi dan daya tahan anggota dalam melaksanakan amanah demi menjamin ketenteraman serta keselamatan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau turut memuji pendekatan inovatif penggunaan MyKad di stesen minyak sebagai mekanisme pengesahan kelayakan, yang disifatkan selaras dengan usaha pendigitalan negara.
Mohd Khalid berkata, langkah itu merupakan manifestasi komitmen kerajaan dalam mengoptimumkan teknologi bagi memastikan tadbir urus subsidi yang telus, cekap dan lestari.
“PDRM komited untuk terus berganding bahu bersama kerajaan dalam menjayakan agenda nasional, memastikan keamanan negara sentiasa terpelihara serta mengangkat martabat Malaysia di persada dunia,” katanya lagi.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan bahawa harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September ini di bawah program BUDI95.
Langkah itu hanya melibatkan rakyat Malaysia, manakala bukan warganegara perlu membayar pada harga RM2.60 seliter selepas tarikh berkenaan.