SHAH ALAM – Penduduk, peniaga dan pengusaha kilang di Jinjang Selatan Tambahan yang diarahkan mahkamah untuk berpindah esok boleh menarik nafas lega apabila tiada tindakan meroboh premis mereka akan dijalankan buat masa ini.
Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata, keputusan itu dicapai selepas beliau mengadakan perbincangan bersama beberapa agensi kerajaan berkaitan isu tersebut.
“Hasil perbincangan telah dipersetujui bahawa tiada tindakan meroboh rumah, kedai atau kilang akan dilakukan esok.
“Namun, kita akan tunggu dan lihat sekiranya terdapat tindakan undang-undang yang bakal diambil oleh penyewa tanah terbabit,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa persoalan asas tetap sama, iaitu sama ada kira-kira 30 hingga 40 keluarga dan peniaga terbabit pernah memohon untuk menyewa rumah kos rendah kerajaan, atau hanya menunggu kerajaan datang mencari mereka.
“Tanah ini adalah hak kerajaan dan milik bersama seluruh rakyat, bukannya untuk diwarisi atau disewakan oleh segelintir keluarga,” tambah beliau.
Terdahulu, media melaporkan bahawa seramai 38 peniaga di Jinjang Selatan Tambahan meluahkan rasa tidak berpuas hati apabila mendakwa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan notis pengusiran paksa.
Setiausaha Gabungan Persatuan Isu Pampasan dan Perumahan Jinjang Selatan Tambahan, Ameer Khan Bargathalli, berkata mereka juga kecewa apabila hanya ditawarkan pampasan kira-kira RM5,000.