BUDI95: Penjimatan subsidi boleh cecah RM4 bilion setahun

Iklan
Kerajaan jangka penjimatan sehingga RM4 bilion setahun menerusi subsidi petrol bersasar guna MyKad. - Foto: Bernama

BALIK PULAU – Kerajaan menjangkakan penjimatan antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun melalui pelaksanaan skim subsidi petrol baharu yang menggunakan MyKad bagi pengesahan kelayakan rakyat Malaysia.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, skim ini bertujuan memastikan petrol bersubsidi hanya disalurkan kepada rakyat yang layak selain mengelakkan ketirisan atau penyalahgunaan termasuk penjualan kepada warga asing.

Iklan
Iklan

“Skim subsidi ini bukan sahaja memberi manfaat terus kepada rakyat, malah dapat mengekang penyalahgunaan yang sebelum ini berlaku.

“Selepas pelaksanaan subsidi petrol ini, jumlah penjimatan bergantung kepada harga minyak mentah dunia yang ditentukan di pasaran antarabangsa.

Iklan

“Jika harga minyak dunia sekitar AS$75 setong, penjimatan subsidi boleh mencecah antara RM2.5 bilion hingga RM4 bilion setahun,” katanya dalam sidang akhbar di Jeti Pulau Betong, di sini.

Amir Hamzah sebelum itu menghadiri Sesi Libat Urus Kampung Angkat Madani Pulau Betong, pada Isnin.

Iklan

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa harga petrol RON95 akan diturunkan daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September ini di bawah program Budi Madani RON95 (BUDI95).

Menurut beliau, langkah itu hanya melibatkan rakyat Malaysia, manakala bukan warganegara perlu membayar pada kadar RM2.60 seliter selepas tarikh berkenaan.