SHAH ALAM - Pelaksanaan program Budi Madani RON95 (BUDI95) bermula Selasa minggu depan mampu menutup ruang ketirisan subsidi yang sebelum ini turut dinikmati golongan tidak sepatutnya.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin berkata, penetapan harga RON95 pada kadar RM1.99 seliter untuk warganegara dengan kelayakan subsidi sehingga 300 liter sebulan juga langkah tepat bagi memberi manfaat langsung kepada jutaan rakyat Malaysia tanpa mengira latar belakang pendapatan.
"AMK menyambut baik pelaksanaan BUDI95. Inisiatif ini jelas membuktikan komitmen Kerajaan Perpaduan untuk memastikan subsidi petrol diagihkan secara adil, telus dan bersasar demi mengurangkan beban rakyat.
"AMK yakin usaha ini akan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap dasar Ekonomi Madani yang mengutamakan kesejahteraan rakyat, pengurusan fiskal berhemah serta keberlanjutan ekonomi negara," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Media sebelum ini melaporkan, semua rakyat Malaysia akan menerima siling kelayakan bulanan sebanyak 300 liter bagi subsidi petrol RON95 menerusi program BUDI95 yang berkuat kuasa 30 September ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bertujuan memastikan subsidi diagih secara adil kepada pengguna yang layak selain mengelakkan ketirisan.
Mengulas lanjut, Danish menegaskan, subsidi yang bersasar itu akan memastikan setiap sen yang dibelanjakan benar-benar kembali kepada rakyat.
Justeru, katanya, AMK menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk sama-sama menyokong pelaksanaan BUDI95 dan mengambil manfaat daripada inisiatif ini.
"Sesungguhnya, inilah bukti Malaysia Madani rakyat disantuni," ujarnya.