JAMIE Redknapp menyifatkan kemenangan 2-1 Manchester United ke atas Chelsea di Old Trafford sebagai kemenangan terbesar era Ruben Amorim, sekali gus memberi tonik penting buat pengendali dari Portugal itu yang berdepan tekanan sejak awal musim.
Menurut Redknapp, kemenangan itu hadir tepat pada masanya selepas United mencatat permulaan liga terburuk dalam tempoh 33 tahun dengan hanya empat mata daripada empat perlawanan.
“Ini adalah keputusan paling besar buat Amorim sebagai pengurus Manchester United terutama di laman sendiri. Situasi bertambah genting selepas Casemiro dibuang padang tetapi Bruno Fernandes tampil luar biasa, khususnya pada separuh masa kedua.
“Sekarang, United mesti membina momentum daripada kemenangan ini dengan meraih kejayaan seterusnya,” katanya.
United mendahului dua gol menerusi Fernandes dan Casemiro selepas Chelsea kehilangan penjaga gol Robert Sanchez yang dilayangkan kad merah pada minit kelima.
Namun, Casemiro menjadi punca kerumitan apabila turut diusir sebelum rehat kerana menerima kad kuning kedua.
Trevoh Chalobah sempat merapatkan kedudukan pada minit ke-80 tetapi United bertahan hingga tamat untuk memastikan tiga mata penting.
Biarpun kemenangan itu sedikit meredakan tekanan, Amorim tetap mengingatkan pasukannya agar tidak leka.
“Saya tahu ramai mengkritik kami,dan kebanyakan masa mereka betul. Tapi hari ini kami menang, itu yang paling penting.
“Kemenangan ini sangat bermakna kerana saya faham tekanan di sekeliling pasukan. Yang utama, Manchester United kembali menang di Old Trafford,” tegasnya.
Kemenangan itu melonjakkan United ke kelompok pertengahan liga dengan tujuh mata menjelang aksi menentang Brentford dan Sunderland sebelum rehat antarabangsa Oktober.