KUALA LUMPUR - Malaysia memberi tumpuan kepada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui pelaksanaan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital (DEFA) yang dijangka dimuktamadkan hujung tahun ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, DEFA akan membuka ruang lebih luas kepada PMKS untuk menembusi pasaran ASEAN menerusi platform digital, sekali gus memudahkan urusan eksport tanpa halangan besar seperti sebelum ini.
“Kalau sebelum ini, perjanjian perdagangan bebas (FTA) lebih banyak dimanfaatkan syarikat besar, kini melalui DEFA, syarikat kecil termasuk PMKS akan dapat peluang sama rata untuk mengembangkan perniagaan mereka.
“Produk seperti sambal atau tudung keluaran usahawan kecil boleh dipasarkan ke negara jiran dengan lebih mudah kerana semua proses dokumentasi, kastam dan kod barangan akan diselaraskan secara dalam talian,” katanya dalam temu bual khas bersama media di pejabatnya baru-baru ini.
Mesyuarat Menteri Ekonomi ASEAN (AEM) ke-57 yang berlangsung pada 22 hingga 26 September ini di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) akan memberi tumpuan kepada penyelesaian rundingan DEFA selain mengukuhkan kerjasama perdagangan intra-ASEAN yang kini hanya sekitar 23 hingga 24 peratus daripada jumlah perdagangan keseluruhan blok itu.
Menurut Tengku Zafrul, sistem pembayaran antara negara juga akan dipermudah dengan integrasi bank pusat dan pelbagai penyedia e-dompet serantau termasuk CIMB, Maybank, Alipay dan lain-lain bagi memastikan transaksi berjalan lancar.
Katanya, usaha itu penting memandangkan 99 peratus syarikat di ASEAN terdiri daripada PMKS berbanding hanya satu peratus syarikat besar.
“Kerajaan perlu membantu syarikat kecil ini kerana mereka tidak mempunyai kemampuan untuk melabur besar bagi memenuhi standard eksport dan agenda kelestarian. Dengan adanya kerangka ASEAN, kita boleh bekerjasama untuk memastikan PMKS bersedia,” ujarnya.
Beliau berkata, ASEAN perlu menunjukkan bahawa globalisasi juga mampu memberi manfaat kepada syarikat kecil.
“Kita mahu pastikan tiada pihak tertinggal, sebaliknya semua mendapat manfaat,” ujarnya.
Tengku Zafrul berkata, rundingan masih berjalan kerana terdapat negara anggota yang belum bersedia sepenuhnya khususnya berkaitan isu aliran mata wang dan perlindungan industri tempatan.
“Memang tidak mudah kerana tahap kesediaan negara ASEAN berbeza. Ada cadangan untuk bergerak dalam dua kelajuan iaitu negara yang sudah bersedia dahulu tetapi kita masih cuba mencari titik persamaan agar DEFA boleh dilaksanakan serentak,” katanya.
Beliau menegaskan, Malaysia perlu mengambil peluang sebagai pengerusi ASEAN untuk memastikan PMKS tempatan dapat menembusi pasaran serantau yang berjumlah 680 juta penduduk dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencecah AS$3.8 trilion.
“Malaysia sebagai sebuah negara bersaiz sederhana tidak mampu bersendirian. Dengan ASEAN, kita dapat meningkatkan daya saing, memperkukuh kestabilan serantau dan membina pasaran lebih besar untuk produk tempatan,” jelasnya.
Destinasi pelaburan
Dalam masa sama, aliran pelaburan langsung asing (FDI) ke ASEAN kekal kukuh dengan purata sekitar AS$225 bilion setahun, menjadikan rantau ini antara destinasi pelaburan paling menarik di dunia.
Menurut data antarabangsa, nilai itu meningkat hampir 10 peratus pada 2024 berbanding tahun sebelumnya dengan Malaysia kekal sebagai antara penerima utama bersama Indonesia, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Tengku Zafrul berkata, kedudukan ASEAN sebagai pasaran besar dengan ekosistem rantaian bekalan saling melengkapi menjadikan syarikat global memilih Malaysia sebagai pangkalan operasi untuk mengeksport ke negara jiran.
“Apabila mereka buka hab di sini, pekerjaan tercipta kerana Malaysia berintegrasi dalam rantaian bekalan serantau. Sebahagian komponen dibuat di Malaysia, manakala proses lain dijalankan di Singapura atau Vietnam,” katanya.
Beliau menjelaskan, kestabilan ASEAN sejak penubuhannya menjadi faktor penting keyakinan pelabur untuk terus melabur di rantau ini.
“Platform diplomasi ASEAN memastikan pemimpin dan pegawai kanan sentiasa berunding, sekali gus mengurangkan risiko konflik besar. Faktor ini membawa keyakinan kepada pelabur untuk melabur dan mengembangkan operasi mereka,” ujarnya.
Beliau berkata, Malaysia turut memanfaatkan integrasi ASEAN dalam sektor bernilai tambah seperti semikonduktor, pusat data, logistik dan perkhidmatan digital.
Katanya, syarikat gergasi teknologi antarabangsa memilih Malaysia sebagai hab kerana akses mudah ke pasaran serantau dan kestabilan ekosistem tenaga serta infrastruktur.
“Kita lihat Microsoft dan Google membina pusat data di Malaysia bukan sahaja untuk pasaran tempatan, tetapi juga bagi menampung permintaan dari Singapura, Thailand dan negara ASEAN lain,” katanya.
Dalam industri semikonduktor pula, syarikat seperti Micron Technology Inc membuka operasi pemasangan dan ujian di Malaysia kerana negara ini menjadi sebahagian daripada ekosistem serantau yang melibatkan Vietnam dan Singapura.
Jelasnya, faktor rantaian bekalan ini memberi limpahan peluang pekerjaan bergaji baik kepada rakyat Malaysia selain meningkatkan keupayaan vendor tempatan.
Cabaran
Namun, beliau mengakui cabaran baharu muncul apabila beberapa negara lain menawarkan geran besar untuk menarik syarikat teknologi tempatan memindahkan pusat R&D mereka.
“Sekarang banyak negara menawarkan insentif bernilai berbilion dolar untuk menarik syarikat kita berpindah.
“Kerajaan perlu menilai semula pendekatan insentif supaya lebih menekankan kepada R&D dan inovasi,” katanya.
Tengku Zafrul berkata, Malaysia tidak boleh hanya bergantung kepada insentif peralatan semata-mata sebaliknya perlu memberi galakan kepada syarikat tempatan untuk berinovasi agar kekal berdaya saing.
“Kita sudah sampai ke tahap di mana kita mesti fokus kepada inovasi. Kalau tidak, syarikat kita mudah dipancing keluar dengan tawaran besar,” katanya.
Beliau menegaskan, walaupun sebahagian besar manfaat FDI datang daripada syarikat besar antarabangsa, kesan limpahan ekonomi tetap dirasai rakyat melalui pekerjaan, pendapatan vendor tempatan dan peluang eksport lebih luas untuk PMKS.
“Dengan ASEAN, kita bukan sahaja mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam perdagangan global tetapi juga memastikan rakyat merasai manfaat melalui penciptaan pekerjaan dan peluang baharu,” ujar beliau.