Kerajaan labur lebih RM71 juta pulihara hutan bakau

Iklan
Tengku Muhammad Fakhry (tiga dari kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada peserta program. Foto SINAR HARIAN/ADILA SHARINNI WAHID

TUMPAT - Kerajaan memperuntukkan lebih RM71 juta bagi pelaksanaan penanaman pokok bakau dan spesies bersesuaian di pesisiran pantai negara termasuk Sabah serta Sarawak sejak 2006 hingga kini.

Menteri Perladangan dan Komoditi yang memangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, peruntukan itu juga merangkumi penyelenggaraan, penyelidikan, pemantauan serta program kesedaran awam susulan peristiwa tsunami 2004 yang memberi kesan besar terhadap ekosistem dan kesejahteraan penduduk pesisir pantai.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, sehingga September tahun ini, seluas 3,820 hektar kawasan hutan paya laut dan pesisiran pantai di seluruh negara berjaya ditanam dengan lebih sembilan juta pokok bakau serta pelbagai spesies sesuai.

“Kejayaan ini diperhebat dengan hasil lebih 120 kajian penyelidikan yang menjadi rujukan utama serta penglibatan aktif 13 pertubuhan bukan kerajaan bersama komuniti setempat.

Iklan

“Pencapaian ini bukan sahaja memperkukuh usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan hutan paya laut dan pesisiran pantai, malah turut membuka ruang penjanaan ekonomi melalui aktiviti perikanan, industri arang kayu, ekopelancongan dan produk berasaskan hutan paya laut,” katanya.

Johari berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Dr. Ching Thoo Aik Kim pada Sambutan Hari Konservasi Ekosistem Hutan Paya Laut Antarabangsa Peringkat Kebangsaan dan Karnival Kebangsaan Perhutanan Sosial 2025 di Padang Kemahkotaan, Pantai Ndo, di sini pada Ahad.

Iklan

Sambutan itu dirasmikan oleh Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra yang turut berkenan melancarkan buku mewah Mangrovers: Beyond The Treasures, menyampaikan sijil kepada peserta serta menanam pokok bakau sebagai simbolik perasmian program.

Turut hadir, Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Johari berkata, kejayaan pemuliharaan hutan paya laut memberi impak besar kepada peningkatan taraf hidup komuniti setempat dan pembangunan sektor pelancongan negara.

“Antara lokasi yang kini menjadi contoh kejayaan ialah Delta Kelantan Pantai Senok atau Pulau Nami di Bachok yang terkenal sebagai destinasi ekopelancongan, industri arang kayu Larut Matang di Perak yang menjadi penyumbang ekonomi negara.

“Juga pusat pembelajaran dan penyelidikan di Kuala Selangor, peluang ekonomi baharu di Pulau Ketam di Perlis dan tiga kawasan di Sarawak yang digazetkan sebagai kawasan perlindungan sepenuhnya dengan impak ekonomi melebihi RM3 juta setahun,” katanya.

Tambahnya, di Sabah kawasan penanaman sejak 2006 turut menjadi sumber rezeki makanan laut kepada penduduk tempatan.