Sabah cadang beri pendidikan percuma - Hajiji

Iklan
Hajiji (tiga dari kanan) bersama pelajar yang hadir pada Majlis Konvensyen Mahasiswa Sabah di Dewan KDCA, Penampang pada Ahad.

PENAMPANG - Kerajaan negeri bercadang untuk memberi pendidikan percuma kepada pelajar Sabah yang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi milik kerajaan negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pendidikan percuma itu adalah bagi pelajar yang melanjutkan pengajian di institusi seperti University College Yayasan Sabah (UCSF) dan Kolej Teknologi Yayasan Sabah (KTYS).

Iklan
Iklan

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga berhasrat memperkenalkan dasar subsidi pinjaman pendidikan, khususnya pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Yayasan Sabah, agar beban hutang pelajar dapat diringankan.

"Inisiatif ini akan memanfaatkan lebih 100,000 peminjam. Saya optimis dasar ini praktikal untuk dilaksanakan oleh kerajaan negeri, sesuai dengan kedudukan kewangan kerajaan pada masa akan datang.

Iklan

"Inilah bukti kesungguhan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) untuk memastikan lebih banyak anak Sabah dibantu, di samping memastikan akses pendidikan sampai kepada pelajar.

"Sebab itu, kerajaan negeri memberi penekanan serius kepada soal pendidikan dan pembangunan modal insan kerana kita yakin golongan muda merupakan cerminan kepada masa hadapan negeri Sabah yang tercinta,” katanya pada Majlis Konvensyen Mahasiswa Sabah di Dewan KDCA, di sini pada Ahad.

Iklan

Hajiji berkata, sejak diberikan amanah untuk menerajui Sabah, kerajaan pimpinannya telah memberi penumpuan serius terhadap pendidikan dan pembangunan modal insan.

"Ini diterjemahkan dalam Hala Tuju SMJ, sebuah pelan pembangunan yang inklusif dan komprehensif yang terbukti berjaya membawa Sabah membangun dengan signifikan.

"Sejak tahun 2021, kerajaan negeri telah membelanjakan lebih RM1.3 bilion dalam bidang pendidikan. Jumlah ini merupakan peruntukan terbesar dalam sejarah Sabah, menandakan komitmen tinggi kerajaan terhadap anak-anak muda.

"Terdapat lebih 14 inisiatif pendidikan diperkenalkan, antaranya bantuan one-off sebanyak RM600 kepada pelajar Sabah yang melanjutkan pelajaran ke Semenanjung, Sarawak dan Labuan melalui program GRS-SubFly, selain bantuan sebanyak RM300 melalui inisiatif Sentosa untuk pelajar yang belajar dalam negeri," katanya.

Tambahnya, kerajaan negeri juga telah menyediakan dana biasiswa tertinggi sejak merdeka, iaitu RM136 juta pada tahun 2025, yang telah memanfaatkan ribuan pelajar di pelbagai peringkat pengajian.

Malah, katanya, kerajaan negeri turut menubuhkan Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) bagi membantu pelajar yang menghadapi cabaran kewangan.

Sehubungan itu, beliau berkata, kesemua inisiatif tersebut dapat dilaksanakan kerana kerajaan negeri telah berjaya meningkatkan hasil negeri ke tahap tertinggi dalam sejarah.

"Pendapatan negeri Sabah meningkat kepada hampir RM7 bilion," ujarnya.