JAKARTA – Polis mengesahkan tindakan seorang lelaki membakar rumah sewanya di Cakung, Jakarta Timur berpunca daripada rasa cemburu terhadap isterinya.
Ketua Polis Cakung, Kompol Widodo berkata, suspek berusia 29 tahun dikenali sebagai MA bertindak demikian selepas bertengkar dengan isterinya.
“Ya, berlaku pertengkaran kerana cemburu,” katanya ketika dihubungi media.
Menurut beliau, suspek ditahan di kawasan Cakung Timur pada Jumaat dan kini berada di Unit Perlindungan Wanita dan Kanak-Kanak (PPA) Polis Daerah.
Terdahulu, sebuah rumah sewa di kawasan Cakung dilaporkan terbakar.
Kebakaran itu dipercayai berpunca daripada perselisihan rumah tangga pasangan berkenaan.
Ketua Seksyen Operasi Suku Dinas Pencegahan dan Penyelamatan Kebakaran (Gulkarmat) Jakarta Timur, Abdul Wahid berkata, siasatan awal mendapati rumah berkenaan sengaja dibakar suspek selepas bertengkar dengan keluarganya.
Akibat kejadian itu, isterinya cedera dan segera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Seorang mangsa mengalami luka bakar iaitu Siti Nurkalisah, 33 tahun namun tiada korban jiwa dilaporkan. Lima lagi mangsa berjaya diselamatkan,” jelasnya.