Sentuhan Cklamovski ubah karakter Harimau Malaya - Teerasil Dangda

Iklan
Teerasil percaya kualiti Harimau Malaya akan meningkat di bawah kendalian Cklamovski. Foto: Football Association of Malaysia

PENYERANG legenda Thailand, Teerasil Dangda menyuarakan keyakinan bahawa sentuhan jurulatih skuad bola sepak negara, Peter Cklamovski mampu menjadi pemangkin utama dalam meningkatkan lagi kualiti Harimau Malaya di pentas antarabangsa.

Teerasil, 37, yang kini bersama Bangkok United mengakui mengikuti rapat perkembangan skuad negara, apatah lagi pernah merasai sendiri pengalaman dibimbing Cklamovski ketika beraksi di Jepun empat tahun lalu.

Iklan
Iklan

“Saya pernah dilatih jurulatih Peter (Cklamovski) semasa di Jepun, jadi saya tahu kualiti serta pendekatannya. Saya percaya dengan pengalaman dimilikinya, Malaysia mampu menjadi lebih kuat,” katanya selepas aksi Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya, pada Khamis.

Menurutnya, falsafah bola sepak moden yang diterapkan pengendali dari Australia itu berjaya memberi identiti baharu dan lebih segar kepada Harimau Malaya.

Iklan

“Pendekatan pembangunan pemain yang diamalkan Malaysia juga selari dengan trend global, sekali gus memberi nilai tambah terhadap perancangan taktikal jurulatih Peter. Model ini memberi banyak pilihan dan meningkatkan kualiti keseluruhan pasukan. Malaysia jelas berada di landasan yang betul dengan pembaharuan ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Harimau Malaya terus menunjukkan peningkatan positif apabila melonjak ke tangga ke-123 dunia dalam kemas kini ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Iklan

Kedudukan terbaharu itu menyaksikan anak buah Cklamovski naik dua anak tangga berbanding ranking ke-125 yang dicatat pada 10 Julai lalu hasil kutipan mata penting menerusi aksi kelayakan rasmi dan perlawanan antarabangsa kelas A sepanjang tiga bulan kebelakangan ini.

Antara kemenangan berimpak tinggi yang melonjakkan kedudukan Malaysia termasuk menewaskan Vietnam 4-0 pada aksi Kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil, 10 Jun lalu.

Momentum positif itu diteruskan pada September dengan kejayaan menundukkan Singapura 2-1 dalam aksi persahabatan antarabangsa sebelum mencatat kemenangan 1-0 ke atas Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Tiga kemenangan berturut-turut itu menjadi pemangkin utama kepada peningkatan ranking FIFA yang sekali lagi membuktikan hala tuju positif skuad negara di bawah kendalian Cklamovski.