Karier makin padu di Bangkok, Arhan pasang tekad ke Piala Dunia

Iklan
Arhan (kanan) berkata pengalaman di Thailand bakal menjadi aset penting untuk memperkukuh kedudukannya bersama skuad kebangsaan Indonesia dalam misi melayakkan diri ke Piala Dunia. - FOTO: Bangkok United

PEMAIN pertahanan Indonesia, Pratama Arhan Alif Rifai, menzahirkan rasa syukur apabila kariernya bersama Bangkok United terus berjalan lancar dan memberangsangkan sejak berhijrah ke Liga Thailand.

Pemain berusia 23 tahun itu yang ditampilkan menentang Selangor FC dalam saingan Kumpulan G Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) 2025/26 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Khamis, mengakui suasana baharu tidak menimbulkan masalah besar kerana beliau cepat menyesuaikan diri.

Iklan
Iklan

“Alhamdulillah, saya kini bersama Bangkok United dan sangat gembira dengan perkembangan yang berlaku. Keadaan permainan dan prestasi saya juga semakin baik,” katanya.

Mengulas cabaran awal, Arhan yang terkenal dengan lontaran ke dalam jauh mengakui faktor bahasa sedikit mencabar, namun berjaya diatasi kerana komunikasi bersama rakan sepasukan boleh dilakukan dalam bahasa Inggeris.

Iklan

“Bahasa agak sukar pada mulanya, tetapi tidak terlalu membebankan kerana rakan-rakan sepasukan boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Jadi kami dapat saling berkomunikasi dengan baik,” jelasnya.

Arhan turut menegaskan pengalaman di Thailand bakal menjadi aset penting untuk memperkukuh kedudukannya bersama skuad kebangsaan Indonesia (Timnas) dalam misi melayakkan diri ke Piala Dunia.

Iklan

“Insya-ALLAH boleh. Saya berharap Timnas Indonesia terus berkembang, mara lebih jauh dan seterusnya layak ke Piala Dunia,” ujar bek kiri itu.