Proses isi minyak subsidi guna MyKad perlu cepat, lancar – FOMCA

Iklan
roses mengisi minyak menerusi sistem subsidi RON95 menggunakan MyKad yang akan bermula hujung bulan ini perlu lancar, cepat. Gambar kecil: Saravanan

SHAH ALAM – Proses mengisi minyak menerusi sistem subsidi RON95 menggunakan MyKad yang akan bermula hujung bulan ini perlu lancar, cepat dan tidak mempunyai birokrasi tambahan bagi memastikan rakyat tidak terbeban dengan sistem baharu itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Dr T Saravanan berkata, proses di stesen minyak mestilah mudah dan mesra pengguna.

Iklan
Iklan

“Pengguna tidak seharusnya berdepan syarat terlalu rumit atau sistem yang kerap gagal. Kerajaan juga perlu memantau rapat kesan rantaian harga, jika petrol naik bagi mereka tidak layak, kos logistik dan pengangkutan mungkin meningkat lalu mendorong kenaikan harga barangan harian.

“Mekanisme kawalan harga serta pemantauan pasaran sangat penting untuk memastikan rakyat tidak terbeban secara tidak langsung,” katanya kepada Sinar Ahad.

Iklan

Baru-baru ini Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengingatkan orang ramai agar memeriksa MyKad bagi memastikan cip berfungsi dengan baik berikutan pelaksanaan sistem pengesahan subsidi RON95 yang akan bermula pada hujung bulan ini.

Bagaimanapun, pelaksanaan perkara tersebut masih belum dibuat oleh kerajaan sehingga mencetuskan pelbagai spekulasi dalam kalangan rakyat di negara ini.

Iklan

Justeru, Saravanan menegaskan, pelaksanaan subsidi bersasar petrol RON95 memerlukan komunikasi yang telus, menyeluruh dan berulang agar rakyat benar-benar memahaminya.

“Pada masa ini masih ramai yang keliru tentang siapa yang layak, bagaimana kelayakan ditentukan, serta bagaimana subsidi itu akan dinikmati oleh pengguna.

“Oleh itu, kerajaan perlu mengadakan kempen komunikasi awam yang lebih agresif melalui pelbagai medium seperti televisyen, radio, media sosial, laman web rasmi serta mengadakan taklimat masyarakat di kawasan bandar dan luar bandar,” ujarnya.

Selain penjelasan umum, beliau berpendapat, kerajaan juga mesti menyediakan saluran rasmi untuk semakan status kelayakan secara mudah iaitu pengguna seharusnya dapat menyemak sendiri sama ada mereka layak atau tidak melalui aplikasi mudah alih, portal rasmi atau kaunter khas.

Menurutnya, kerajaan perlu memberi maklumat rasmi yang jelas tentang cara penggunaan MyKad di stesen minyak.

“Pengguna wajib tahu sama ada mereka perlu daftar, bagaimana MyKad akan diimbas dan prosedur jika timbul masalah. Kerajaan juga perlu jelaskan kaedah penukaran atau penyelesaian segera sekiranya berlaku masalah teknikal contohnya MyKad rosak, tidak dapat dibaca atau hilang.

“Maklumat mesti disampaikan lebih awal supaya rakyat tidak panik atau rasa terabai apabila sistem bermula. Tanpa garis panduan rasmi dan menyeluruh, risiko kekeliruan akan tinggi dan pelaksanaan berpotensi menimbulkan ketidakpuasan hati rakyat,” sarannya.

Saravanan berkata, secara keseluruhannya perlu ada satu mekanisme pemantauan berterusan melibatkan kerajaan dan badan penguat kuasa seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dalam pelaksanaan sistem berkenaan.

Kata beliau, mekanisme itu penting untuk menilai keberkesanan dasar, mendengar aduan pengguna, menangani isu manipulasi harga pihak ketiga serta membuat penambahbaikan dasar secara segera berdasarkan maklum balas lapangan.