TELUK INTAN – Polis berjaya memberkas seorang lelaki berusia 35 tahun yang dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah selepas aksi mengejar di Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah selatan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Behrang pada Sabtu.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, suspek yang menaiki kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Aruz dari arah Manjung cuba melarikan diri menghala ke Kuala Lumpur selepas dikesan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah ketika rondaan cegah jenayah kira-kira jam 12.30 tengah hari.
“Usaha menahan suspek bermula dari Tapah sehingga ke lebuh raya sebelum polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar kenderaan suspek bagi memperlahankannya.
“Hasil pemeriksaan, polis menemui pelbagai peralatan digunakan untuk kegiatan pecah rumah termasuk jaket polis di dalam kenderaan itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan penutupan Program Ter...Paling Pahlawan Challenge 2025 anjuran IPD Hilir Perak di Padang Speedy di sini pada Sabtu.
Menurut Noor Hisam, dengan tertangkapnya suspek utama ini pihak polis yakin dapat menyelesaikan beberapa kes pecah rumah yang dilaporkan.
Bagaimanapun katanya, polis masih mengesan dua lagi kenderaan iaitu Toyota Hilux dan Perodua Alza yang dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek berkenaan.
Terdahulu, tular di media sosial rakaman aksi sekumpulan anggota polis mengejar kenderaan suspek yang dilaporkan memandu melawan arus sebelum memasuki semula lebuh raya.
MPV dipandu suspek akhirnya berjaya dipintas dan dihalang sebelum lelaki itu ditarik keluar oleh anggota polis serta diarahkan berbaring di bahu jalan untuk pemeriksaan lanjut.