[VIDEO] Sia-sia belanja sampai RM30,000 akhirnya kereta disita

Iklan

PENAMPANG - Sanggup berbelanja antara RM5,000 hingga RM30,000 untuk 'makeup' kenderaan demi hobi dan bersaing sesama ahli persatuan kereta sehingga ada yang melakukan pengubahsuaian melampaui spesifikasi ditetapkan.

Itu antara yang dikesan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sabah terhadap pemilik kenderaan yang dikenakan tindakan menerusi Ops Ekstrem berhubung pengubahsuaian kenderaan sehingga melanggar peraturan jalan raya.

Iklan
Iklan

Mohd Harris menunjukkan antara kenderaan yang diubah suai secara ekstrem telah disita menerusi Ops Ekstrem oleh JPJ Sabah.

Pengarah JPJ Sabah, Datuk Mohd Harris Ali berkata, berdasarkan maklumat diterima, pemilik terbabit sebenarnya memahami pengubahsuaian dilakukan boleh memberi kesan terhadap keselamatan kenderaan selain mengganggu orang ramai.

Iklan

"Ini sebenarnya satu hobi. Mereka ada persatuan dan kumpulan masing-masing, berkumpul di satu tempat atau bergerak bersama-sama.

"Tetapi kadang-kadang apabila bersama, mereka terbawa-bawa emosi dan terlalu bersemangat untuk menunjukkan kemampuan kenderaan masing-masing.

Iklan

"Apabila pengubahsuaian dibuat tidak mengikut spesifikasi asal, kemampuan teknikal kenderaan itu juga akan berubah daripada binaan asalnya," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JPJ Sabah, di Bundusan pada Sabtu.

Dalam sidang akhbar itu, beliau turut menunjukkan beberapa kenderaan yang disita menerusi Ops Ekstrem yang dijalankan sejak awal bulan ini.

Mohd Harris berkata, terdapat juga kenderaan yang dikenal pasti melalui proses cantuman sehingga struktur asalnya berubah dan boleh meningkatkan risiko sekiranya berlaku kemalangan.

"Jalan raya bukan medan untuk kita mempamerkan pengubahsuaian ekstrem atau menguji keupayaan masing-masing dan melakukan apa-apa perbuatan yang boleh mengganggu serta mengancam pengguna jalan raya lain.

"Kadang-kadang ada kenderaan kita kenal pasti bahagian badan dicantum (diubah suai). Ini akan lebih mudah berlaku kemalangan yang lebih besar, kalau berlaku kemalangan kecil pun kenderaan itu boleh terpisah.

"Mungkin apabila berpersatuan dan mempunyai kumpulan masing-masing, mereka terlupa bahawa lebih ramai pengguna jalan raya dan orang awam yang terganggu dengan pengubahsuaian," katanya.

Beliau berkata, Ops Ekstrem dilaksanakan susulan aduan orang ramai serta pemerhatian JPJ terhadap peningkatan kenderaan yang diubah suai secara ekstrem termasuk penggunaan ekzos yang menghasilkan bunyi bising.

Sejak operasi berkenaan bermula pada 6 September lalu, sebanyak 24 kenderaan dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan dengan keseluruhan 81 notis dikeluarkan.

"Sebanyak 34 Notis JPJ(P)22 iaitu saman dikeluarkan, 19 Notis Seksyen 61(1) iaitu Arah Periksa, 15 Notis PG(1) bagi Larangan Penggunaan Kenderaan dan 13 Notis Seksyen 64(1) iaitu untuk sita.

"Antara kesalahan yang dikesan ialah ubah suai bentuk dan peralatan kenderaan, nombor pendaftaran tidak mematuhi spesifikasi, kesalahan ekzos, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans serta cermin gelap.

"Sebanyak 13 kenderaan turut disita membabitkan 12 kereta dan sebuah motosikal untuk tindakan lanjut," katanya.

Mohd Harris berkata, pengubahsuaian kenderaan dikawal selia di bawah Seksyen 12 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan tindakan penguatkuasaan akan terus dilaksanakan terhadap kenderaan yang tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan.

"Kita lihat berbanding tahun lalu, mereka lebih berani dan semakin banyak kes. Saya juga mendapat maklumat apabila tindakan diambil, terdapat pihak persatuan yang tidak berpuas hati.

"Tetapi mereka harus faham tindakan JPJ adalah untuk menguatkuasakan undang-undang yang berkuat kuasa dan sedia ada," katanya.

Beliau berkata, JPJ bukan hanya memberi tumpuan kepada penguatkuasaan malah akan mengadakan sesi advokasi dan pertemuan dengan persatuan atau kumpulan berkaitan bagi memberi kefahaman mengenai peraturan pengubahsuaian kenderaan.

"Ops Ekstrem ini dilaksanakan di seluruh Sabah dan ia sebahagian daripada penguatkuasaan yang kita laksanakan. Buat masa ini, operasi ini tidak mempunyai tempoh," katanya.