KOTA BHARU - Wakil Kerajaan Kelantan sudah acap kali berjumpa dengan keluarga Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman yang ditemukan mati tergantung dalam tandas asrama pada Disember 2013 bagi memberikan kerjasama kepada proses siasatan.
Perkara itu diakui sendiri oleh Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi negeri, Datuk Wan Roslan Wan Hamat selepas diminta mengulas perkembangan terkini kes berkenaan.
Menurut beliau, kerajaan negeri tidak pernah berkompromi atau cuba melindungi mana-mana pihak dalam siasatan kes kematian pelajar berkenaan.
"Nak guru atau pelajar untuk bantu siasatan kita bagi. Setakat ini kerajaan negeri bagi kerjasama penuh," katanya semasa sidang akhbar pada Sabtu.
Sebelum itu beliau hadir pada Istiadat Konvokesyen Kolej Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS) Kali Ke-25 di Dewan Johor di sini yang dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud.
Wan Roslan memberitahu, kerajaan negeri amat bersimpati dengan keluarga mangsa dan menyerahkan sepenuhnya kepada polis untuk membuat siasatan.
Ujarnya, hal ini kerana kerajaan negeri tidak mempunyai kepakaran untuk menyiasat perkara itu.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, ibu bapa kepada pelajar tahfiz, Allahyarham Wan Ahmad Faris menyerahkan memorandum kepada Kerajaan Kelantan bagi menuntut penjelasan dan kerjasama berhubung kes kematian anak mereka yang masih menjadi tanda tanya sejak 2013.
Menurut wakil peguam keluarga, Tengku Shazuan Tengku Shariffudin, memorandum itu bertujuan mendapatkan komitmen kerajaan negeri memandangkan sekolah tempat kejadian berlaku berada di bawah naungan Yayasan Islam Kelantan (YIK).
Wan Ahmad Faris, 16, pelajar Tingkatan Empat sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas, ditemukan tergantung dalam tandas asrama pada Disember 2013.
Kes itu pada awalnya diklasifikasikan sebagai bunuh diri, namun pada 2016 keputusan inkues di Mahkamah Koroner memutuskan kematian berpunca daripada tindakan individu tidak dikenal pasti.
Pada 2020, kes diklasifikasikan sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) sebelum siasatan dibuka semula pada bulan lalu selepas desakan keluarga serta perhatian masyarakat