Pengekalan penarafan kredit bukti keyakinan dunia terhadap ekonomi Malaysia

Iklan
Anwar

SHAH ALAM – Pengekalan penarafan kredit berdaulat Malaysia pada ‘A-’ dengan tinjauan “Stabil” oleh S&P Global Ratings (S&P) menunjukkan keyakinan terhadap pengurusan makroekonomi Malaysia yang kukuh.

Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, walaupun terdapat ketidaktentuan ketara dalam aliran perdagangan global, ia tetap menghasilkan prospek pertumbuhan ekonomi yang lebih baik berbanding negara berpendapatan setara.

Iklan
Iklan

“S&P menyatakan asas penarafan tersebut disokong oleh ekonomi yang pelbagai, kestabilan politik yang berterusan, momentum pertumbuhan yang mapan, kedudukan luaran yang seimbang serta defisit fiskal yang mengecil.

“Kestabilan politik yang dinikmati ketika ini menggalakkan penggubalan dasar. Ini membolehkan pembaharuan ekonomi dan konsolidasi fiskal dapat diteruskan.

Iklan

“Tinjauan stabil mencerminkan momentum prestasi pertumbuhan Malaysia dan persekitaran dasar semasa yang mampu meningkatkan prestasi fiskal secara sederhana dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Tambah Anwar, S&P turut menyatakan pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal kukuh, fleksibiliti yang tinggi dalam dasar monetari serta kedudukan luaran yang seimbang disokong lebihan akaun semasa yang menyederhana dan asas eksport yang berkembang. Ia merupakan antara faktor utama pengekalan penarafan tersebut.

Iklan

Beliau berkata, tambahan pula S&P menekankan Malaysia mempunyai ekonomi yang pelbagai dan berdaya tahan dalam menghadapi cabaran semasa, serta mengiktiraf komitmen kerajaan untuk melaksanakan konsolidasi fiskal melalui penambahbaikan subsidi dan perluasan asas hasil.

“Kerajaan Madani memberi tumpuan kepada menambah baik kualiti kehidupan rakyat (menaikkan lantai) serta reformasi ekonomi (menaikkan siling), selain memastikan pengurusan fiskal yang bertanggungjawab.

“Walaupun keadaan luaran kekal tidak menentu, kami beriltizam untuk meneruskan pembaharuan yang akan memartabatkan Malaysia ke tahap lebih tinggi,” katanya.

Menurut beliau, ekonomi Malaysia mencatatkan perkembangan sebanyak 4.4 peratus pada separuh pertama tahun ini dengan pertumbuhan yang meluas.

Jelasnya, pertumbuhan tersebut merangkumi perbelanjaan isi rumah yang berdaya tahan disokong keadaan pasaran buruh memberangsangkan, kadar inflasi terkawal, pelancongan domestik yang rancak serta langkah kerajaan berterusan mengekalkan kuasa beli pengguna.

“Aktiviti sektor swasta dan awam yang kukuh, didorong pelaburan yang tinggi dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan serta pembangunan infrastruktur akan terus menyokong pertumbuhan ekonomi meskipun berdepan ketidaktentuan global.

“Secara keseluruhan, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia diunjurkan berkembang antara 4.0 hingga 4.8 peratus pada tahun 2025.

“Selain itu, kedudukan luaran Malaysia yang kekal stabil menjadi kekuatan penarafan, memandangkan Malaysia mempunyai rekod lebihan akaun semasa yang konsisten selama lebih dua dekad,” katanya.

Beliau menambah, S&P turut menjangkakan lebihan akaun semasa kekal stabil sekitar 2.1 peratus daripada KDNK dalam tempoh tiga tahun akan datang, dipacu permintaan kukuh terhadap sektor pembuatan eksport Malaysia.

Katanya, ia menunjukkan Malaysia mempunyai liputan rizab yang mencukupi dan S&P menjangkakan pasaran modal yang mendalam akan menyokong kestabilan kewangan.

Tegas Anwar, kerajaan kekal berwaspada dalam menguruskan keadaan ekonomi global yang dinamik, khususnya dasar perdagangan yang sentiasa berubah, selain memastikan pelaksanaan dasar fleksibel dan tangkas.

“Melangkah ke hadapan, kerajaan akan meneruskan agenda pembaharuan menyeluruh di bawah kerangka Ekonomi Madani bagi mencapai pertumbuhan lebih tinggi, daya tahan ekonomi kukuh dan kemampanan fiskal.

“Selain itu, Akta Kewangan Awam dan Tanggungjawab Fiskal 2023 akan memastikan konsolidasi fiskal kekal berada di landasan tepat di samping menyediakan sokongan mencukupi untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi.

“Belanjawan 2026 yang dijadual diumumkan bulan hadapan merupakan belanjawan pertama dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) 2026–2030,” katanya.