Isu Kampung Sungai Baru: Annuar Musa perlu tampil beri penjelasan - Syed Badli Shah

Iklan
Syed Badli Shah

SHAH ALAM - Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa digesa tampil memberikan penjelasan berhubung kemelut melanda Kampung Sungai Baru.

Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Pembangunan Kampung Baru merangkap Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Titiwangsa, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, Annuar seharusnya mengambil tanggungjawab kerana kelulusan pewartaan Akta Pengambilan Tanah berlaku ketika berada di bawah kuasanya.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Annuar disifatkan sebagai pengecut sekiranya terus berdiam diri sedangkan aktivis pembangkang giat menyerang Kerajaan Madani dalam isu tersebut.

“Beliau perlu menjelaskan bagaimana Akta Pengambilan Tanah boleh diwartakan pada Jun 2021 sedangkan ketika itu negara masih di bawah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Parlimen tidak bersidang.

Iklan

“Adalah pelik jika menteri tidak mengetahui mengenai pewartaan ini seperti dijelaskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, yang menuding jari kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN).

“Tentunya setiap tindakan eksekutif, khususnya melibatkan pewartaan akta tertentu, akan dilaporkan terlebih dahulu kepada menteri untuk dibawa ke pengetahuan Kabinet. Bagaimana seorang menteri boleh berlepas tangan dengan menyalahkan eksekutif sedangkan eksekutif hanya menjalankan tugas tanpa boleh melangkaui kuasa menteri,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Iklan

Sebelum ini, Shahidan mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat individu yang didakwa berperanan dalam isu pengambilan tanah Kampung Sungai Baru.

Ahli Parlimen Arau itu menegaskan persoalan utama yang perlu dijawab ialah siapa membawa masuk pemaju dan mengapa proses itu kelihatan tergesa-gesa sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk.

Tambah Syed Badli Shah, pembangkang juga perlu berhenti menggunakan watak tertentu dengan merekayasa naratif bagi menyalahkan Kerajaan Madani kerana kemelut berkenaan jelas berpunca ketika Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah.

“Justeru saya menggesa Annuar tampil memberi penjelasan dan tidak terus mendiamkan diri seperti seorang pengecut,” katanya.