Pahang larang Ahli Majlis PBT masuk tender

Iklan
Kerajaan Pahang melarang Ahli Majlis PBT menyertai tender di PBT masing-masing selepas cadangan penambahbaikan tatakelola oleh SPRM bagi mengukuhkan integriti dan tadbir urus. Foto hiasan

KUANTAN - Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pahang dilarang memasuki perolehan atau tender yang ditawarkan oleh PBT masing-masing.

Langkah yang disyorkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) itu telah dipersetujui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pahang pada 14 Mei lalu.

Iklan
Iklan

Bagaimanapun, Ahli Majlis masih dibenarkan menyertai pelawaan perolehan di PBT lain.

Pengarah SPRM Pahang, Mohamad Shukor Mahmud, menyifatkan komitmen kerajaan Pahang dalam melaksanakan cadangan penambahbaikan tatakelola perolehan PBT itu sebagai sesuatu yang amat positif dan membanggakan.

Iklan

Menurutnya, pindaan berkenaan merupakan hasil khidmat nasihat yang dicadangkan SPRM Negeri Pahang dalam satu sesi pembentangan khas mengenai cadangan penambahbaikan tatakelola bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang pada 7 Ogos lalu.

“Ia bertujuan memperkukuh integriti dan kecekapan dalam pengurusan pentadbiran negeri.

Iklan

“Antara isu utama yang dibincangkan termasuk berkaitan amalan, sistem dan tatacara kerja ahli majlis dalam proses pemilihan tender dan kontrak,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Mohamad Shukor berkata, cadangan khidmat nasihat itu dilaksanakan berikutan siasatan SPRM Pahang mengenai isu salah guna kuasa oleh Ahli Majlis PBT di Pekan pada 2022.

“Bagaimanapun, selepas siasatan dilakukan, didapati tiada sebarang kesalahan rasuah atau salah guna kuasa berlaku dalam kes itu.

“Namun, SPRM mendapati terdapat ruang untuk penambahbaikan dalam sistem serta prosedur pengurusan tender melalui penyiasatan tatakelola,” ujarnya.

Beliau berkata, cadangan itu diyakini mampu membawa perubahan dalam menjaga tahap pengurusan tatakelola, selain menutup ruang dan peluang berlakunya rasuah dalam kalangan Ahli Majlis PBT khususnya dalam soal perolehan tender.

“Langkah ini juga mencerminkan komitmen berterusan SPRM dan kerajaan Pahang dalam memperkukuh tadbir urus serta membudayakan integriti dalam pentadbiran awam,” tambahnya.