KUALA LUMPUR – Seorang bapa didenda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Jumaat, selepas mengaku bersalah atas satu pertuduhan memukul anak perempuannya kerana berang remaja berusia 13 tahun itu keluar rumah pada lewat malam dan enggan ke sekolah.
Ketika disoal Majistret, S Arunjothy, tertuduh yang juga pemandu lori mengakui tindakannya sekadar mahu mendisiplinkan anak, namun menyesal kerana tindakan tersebut menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.
Tertuduh berusia 38 tahun itu juga memberitahu, dia mula naik angin selepas remaja berkenaan melawan percakapannya.
Majistret: Saya tengok gambar kecederaan pada mangsa, ia bukan satu kecederaan yang kecil.
Tertuduh: Puan, ini kali pertama saya pukul dia, sebenarnya saya juga tidak tergamak.
Majistret: Walaupun alasan kamu mahu mendisiplinkan anak, tapi kamu tak boleh pukul dia sampai begitu sekali.
“Ya, saya faham saya menyesal,” kata lelaki itu sambil menundukkan kepala ketika berada di kandang tertuduh.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin Akbal mencadangkan tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran.
Bagaimanapun, tertuduh yang diwakili peguam, K Gejalaxmi yang mewakili tertuduh, merayu anak guamnya dikenakan hukuman ringan.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Majistret, Arunjothy menjatuhi tertuduh hukuman terbabit dan memerintahkan dia dipenjara selama satu bulan sekiranya gagal membayar denda.
Majistret turut memberi amaran agar tertuduh tidak mengulangi kesilapan sama memandangkan mangsa hanya berusia 13 tahun.
Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa sengaja mendatangkan kecederaan dengan cara memukul lengan dan kaki anak perempuannya yang berusia 13 tahun, di sebuah rumah projek perumahan rakyat (PPR) di Cheras di sini, jam 11 pagi pada 3 September lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.