Warta Kampong Bharu sebagai tapak warisan dunia UNESCO - Wan Ahmad Fayhsal

Iklan
Wan Ahmad Fayhsal

SHAH ALAM - Kampung Melayu, Kampong Bharu dan Kampung Adat perlu diwartakan sebagai tapak warisan dunia Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), demikian saranan ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Beliau berkata, ketiga-tiga kampung tersebut bukan sekadar penempatan fizikal, malah menjadi nadi identiti bangsa dan permulaan kepada akar umbi budaya, seni bina, tradisi, adat resam serta sistem kemasyarakatan orang Melayu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, langkah mengiktiraf statusnya ke peringkat UNESCO satu momen bersejarah yang bukan sahaja melindungi warisan daripada ancaman pembangunan tidak terkawal, bahkan meletakkannya dalam peta dunia sebagai khazanah sejagat.

“Saya dengan penuh takzim dan rendah diri menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj baru-baru ini yang menekankan kepentingan mempertahankan warisan bangsa serta kesinambungan tradisi negeri.

Iklan

“Dalam semangat mendaulatkan kurniaan nenda Baginda iaitu Almarhum Sultan Sir Alaeddin Sulaiman Shah Almarhum Raja Muda Musa yang sejak awal meletakkan asas pengiktirafan kawasan Kampong Bharu serta kampung tradisional Melayu, maka usul ini dikemukakan.

“Ini supaya Kerajaan Persekutuan mengambil langkah segera untuk mewartakan kawasan tersebut sebagai tapak warisan dunia UNESCO,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Jumaat.

Iklan

Sebelum ini, Sultan Sharafuddin bertitah agar isu pembangunan semula tanah di Kampong Bharu dikendalikan dengan teliti, berhemah dan mengutamakan kepentingan orang Melayu.

Baginda bertitah, tiada halangan sekiranya kawasan Kampong Bharu hendak dibangunkan seiring peredaran zaman, namun syarat-syaratnya perlu jelas dan berpihak kepada orang Melayu.

Wan Ahmad Fayhsal menambah, perkara berkenaan tidak boleh dilihat dari perspektif nilai estetika atau pelancongan semata-mata, sebaliknya tanggungjawab moral dan amanah untuk mempertahankan legasi warisan yang dikurniakan oleh nenda Sultan Selangor.

Justeru, beliau memaklumkan, pihaknya telah mengemukakan usul cadangan pewartaan Kampung Melayu, Kampong Bharu dan Kampung Adat sebagai tapak warisan dunia UNESCO kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul.

“Dengan itu, Dewan Rakyat didesak mengambil ketetapan supaya kerajaan melalui Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Jabatan Warisan Negara (JWN) dan agensi berkaitan segera menggerakkan usaha membuat permohonan rasmi kepada UNESCO.

“Ini di samping memperkukuh kerjasama dengan kerajaan negeri dan institusi tradisi di seluruh negara,” ujarnya.