Laut China Selatan wajar kekal zon aman bukan pencetus ketegangan geopolitik - Menteri Pertahanan

Iklan
Mohamed Khaled

BEIJING – Malaysia mengulangi pendirian tegas agar Laut China Selatan wajar kekal sebagai zon aman, bebas dan terbuka tanpa sebarang bentuk ketegangan yang boleh menggugat kestabilan serantau serta global.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kawasan maritim itu bukan sahaja penting kepada Asia Pasifik, malah menjadi nadi utama ekonomi dan kemakmuran dunia kerana berfungsi sebagai laluan perdagangan global.

Iklan
Iklan

“Keselamatan bersama kita bergantung kepada usaha mengekalkan kebebasan laluan ini. Sebarang tindakan yang menjejaskan kestabilan Laut China Selatan mesti ditangani secara telus dan bertanggungjawab,” katanya ketika berucap pada 2nd Plenary Session, 12th Beijing Xiangshan Forum bertemakan 'Strategic Mutual Trust and Security Cooperation in the Asia-Pacific Region' di sini pada Jumaat.

Menurut Mohamed Khaled, hubungan Malaysia dan China yang terjalin sejak berabad lamanya kekal kukuh serta konstruktif, namun isu Laut China Selatan perlu diurus dengan penuh berhati-hati kerana berpotensi mencetuskan ketegangan pada masa depan.

Iklan

Katanya, Malaysia mengemukakan lima cadangan strategik bagi memperkukuh keyakinan serta kerjasama serantau termasuk mengurus persaingan kuasa besar secara bertanggungjawab, mengimbangi kekuatan dengan dialog, menjadikan undang-undang antarabangsa khususnya Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCLOS) 1982 sebagai panduan, memperluas kerjasama inklusif dalam isu global serta memperkukuh multilateralisme dan kesentralan ASEAN.

"ASEAN perlu kekal sebagai teras kepada keamanan serantau.

Iklan

"Solidariti kita bukan bermaksud kekuatan ketenteraan tetapi kebersamaan dalam menyampaikan mesej bahawa cabaran terhadap satu anggota adalah cabaran kepada semua,” ujarnya.

Beliau menegaskan, ASEAN sudah membuktikan peranan dalam mediasi damai termasuk konflik Kemboja-Thailand serta berikrar meneruskan usaha membantu Myanmar dan membimbing Timor-Leste ke arah keanggotaan penuh.

“Dalam dunia yang semakin sarat dengan perpecahan, ASEAN akan terus menjadi mercu keamanan dan kestabilan dengan memupuk saling percaya serta memperdalam kerjasama,” katanya.