Jurubahasa rugi lebih RM500,000 terpedaya pelaburan kripto

Iklan
Mangsa yang merupakan seorang wanita telah membuat 12 transaksi pindahan wang ke sembilan akaun berbeza berjumlah RM572,130. Gambar hiasan.

TAIPING – Seorang jurubahasa persendirian kerugian lebih RM500,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan mata wang kripto tidak wujud yang ditawarkan melalui media sosial.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail berkata, siasatan pihak polis mendapati mangsa berusia 37 tahun itu berkenalan dengan seorang suspek warga China yang menggunakan nama samaran aplikasi Instagram pada Ogos lalu sebelum komunikasi mereka diteruskan di WhatsApp.

Iklan
Iklan

Menurutnya, suspek kemudian memperkenalkan skim pelaburan mata wang kripto dengan pulangan dijanjikan sebanyak 20 peratus.

"Mangsa yang pada mulanya melabur sebanyak RM8,740 pada 22 Ogos lalu menerima pulangan keuntungan awal kira-kira RM9,595 menyebabkan dia semakin yakin untuk menambah pelaburan.

Iklan

"Di antara 26 Ogos hingga 5 September, mangsa yang merupakan seorang wanita telah membuat 12 transaksi pindahan wang ke sembilan akaun berbeza berjumlah RM572,130," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mohamad Nasir berkata, suspek kemudian meminta mangsa membuat pinjaman bank untuk menambah pelaburan.

Iklan

Katanya, bagaimanapun, mangsa mula menyedari ditipu dana seterusnya membuat laporan polis.

Jelasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

Sementara itu, beliau menasihati orang ramai supaya tidak mudah terpedaya dengan tawaran pelaburan dalam talian yang menjanjikan keuntungan lumayan serta segera membuat semakan dengan Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan Suruhanjaya Syarikat Malaysia sebelum membuat sebarang keputusan.

Katanya, orang ramai juga boleh menghubungi Talian Nasional Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 untuk pengesahan sebelum membuat sebarang transaksi kewangan kepada pihak ketiga.