GEORGE TOWN – Selepas hampir 30 tahun tidak dikaji semula, Kerajaan Pulau Pinang akan melaksanakan pewartaan kadar baharu cukai tanah bermula 1 Januari 2026 melibatkan hampir 370,000 hak milik tanah di seluruh negeri.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, langkah itu dibuat selepas kadar semasa yang dikuatkuasakan sejak 1994 tidak lagi relevan dan menyebabkan hasil cukai negeri tidak meningkat dalam tempoh yang panjang.
Menurutnya, peratusan kenaikan bagi kategori perumahan untuk desa berjumlah 127.27 peratus manakala bagi bandar 29.63 peratus.
Sementara bagi kategori perindustrian pula, Kon Yeow berkata, untuk bandar, kenaikan melibatkan 151.94 peratus manakala desa 200.93 peratus.
“Semakan ini perlu dilakukan sekarang kerana kadar cukai tanah tidak pernah disemak sejak tiga dekad lalu.
"Langkah ini bukan sahaja mengukuhkan hasil negeri, malah memastikan keadilan dan kesamarataan kepada semua pemilik tanah di Pulau Pinang,” katanya dalam sidang akhbar di pejabatnya, Komtar di sini pada Jumaat.
Menurut beliau, pewartaan kadar baharu itu dibuat di bawah Seksyen 101 Kanun Tanah Negara (Akta 828) melalui Warta Kerajaan Negeri Pulau Pinang No 37 bertarikh 11 September 2025 dan telah diluluskan oleh Majlis Tanah Negara pada 2024.
Jelasnya, semakan hanya akan dibuat setiap 10 tahun sekali, bermakna kadar baharu ini akan dikekalkan tanpa sebarang kenaikan sekurang-kurangnya sehingga 2036.
"Semakan cukai tanah itu tidak melibatkan kira-kira 300,000 akaun cukai petak strata yang masih kekal pada kadar sedia ada.
"Mulai 2026, kadar cukai kediaman di kawasan bandar dinaikkan daripada 54 sen kepada 70 sen semeter persegi dengan bayaran minimum RM70 setiap lot, manakala bagi kawasan desa pula dinaikkan daripada 22 sen kepada 50 sen semeter persegi dengan minimum RM50.
"Ini bermakna semua pemilik tanah kediaman kurang 100 meter persegi (1,076 kaki persegi) termasuk rumah kos rendah, sederhana rendah serta sebahagian skim Rumah Mampu Milik atau Rumah MutiaraKu akan dikenakan cukai minimum RM70 di bandar dan RM50 di desa," ujarnya.
Kon Yeow menambah, bagi tanah kategori perindustrian, kadar baharu meningkat daripada RM1.29 kepada RM3.25 semeter persegi di seluruh negeri.
"Sementara bagi kategori perniagaan pula RM3.25 semeter persegi di bandar dan RM2.80 di desa dengan kadar minimum RM280 hingga RM325 bagi tanah kurang 100 meter persegi.
"Untuk kategori pertanian, kadar baharu bermula RM15 sehektar bagi tanaman padi, RM99 sehektar (sawit), RM75 sehektar (getah), RM80 sehektar (buah-buahan) dan RM40 sehektar bagi tanaman kontan," katanya.
Tambah beliau, kerajaan negeri turut memperkenalkan kadar khas RM800 sehektar untuk dusun durian selain kadar baharu RM250 hingga RM750 sehektar bagi ternakan babi, unggas, ruminan dan akuakultur.
"Selain itu, padang golf dikenakan RM2,500 sehektar, kuari RM3.25 semeter persegi, tanah milik kerajaan Persekutuan 54 sen semeter persegi manakala tanah masjid, RIBI serta tanah perkuburan ditetapkan pada kadar nominal RM50 setiap lot.
"Kadar khas turut diperkenalkan untuk rumah kampung dengan bayaran minimum RM50 setiap lot, walaupun keluasan tanah melebihi 100 meter persegi," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, lebih 200,000 hak milik tanah First Grade termasuk Condition A, B dan C akan dikenakan cukai berdasarkan kegunaan semasa bagi menyelesaikan isu ketirisan hasil sejak 60 tahun lalu.
"Bagi mengurangkan impak kenaikan, kerajaan negeri memperkenalkan rebat cukai tanah sebanyak 32.5 peratus pada 2026, 20 peratus pada 2027 dan 20 peratus pada 2028.
"Namun, jika jumlah selepas rebat lebih rendah daripada kadar sedia ada yang dibayar pada 2025, pemilik perlu terus membayar mengikut kadar lama. Rebat ini dijangka menyebabkan kerajaan negeri kehilangan hasil RM80 hingga RM100 juta setahun," jelasnya.
Jelasnya, hasil kutipan cukai pada tahun depan dianggarkan berjumlah RM200 juta selepas rebat diberikan.
"Sebelum ini, kutipan yang dibuat adalah antara RM140 hingga RM145 juta.
"Bagaimanapun, akan ada pertambahan setelah pewartaan kadar baharu cukai tanah yang mana, dianggarkan kutipan akan menjadi RM445 juta pada 2029, iaitu kenaikan sebanyak RM300 juta," katanya.
Selain itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri turut menawarkan pengecualian penuh bayaran denda cukai tanah dan cukai petak bagi tunggakan sepanjang 2026 berjumlah RM25 juta.
"Kita juga menawarkan diskaun 50 peratus kadar premium pertukaran kategori tanah pertanian kepada bangunan (kediaman individu sahaja) sepanjang tahun 2026.
"Selain itu, kerajaan negeri juga menawarkan pelbagai cenderahati dapur serta cabutan bertuah kepada pembayar cukai tanah dan cukai petak strata yang menggunakan aplikasi PG Land secara dalam talian," ujarnya.
Beliau berkata, semakan semula kadar cukai ini diyakini dapat meningkatkan hasil negeri sekali gus membolehkan kerajaan menyediakan lebih banyak insentif kewangan dan bantuan sara hidup kepada rakyat.
“Kerajaan negeri berpandangan, semakan ini penting bagi pembangunan sosioekonomi rakyat dan negeri untuk jangka masa panjang.
"Dengan hasil yang lebih mampan, lebih banyak program kebajikan dapat disalurkan demi kesejahteraan rakyat Pulau Pinang,” katanya.