Kajian Ipsos: Majoriti rakyat Malaysia setuju larangan media sosial untuk kanak-kanak

Iklan
Kajian dijalankan Ipsos menunjukkan majoriti rakyat Malaysia setuju larangan media sosial untuk kanak-kanak, namun berbelah bahagi tentang penggunaan telefon pintar.

SHAH ALAM – Majoriti rakyat Malaysia bersetuju kanak-kanak bawah 14 tahun tidak sepatutnya guna media sosial, namun berbelah bahagi tentang larangan penggunaan telefon pintar untuk anak-anak.

Menurut kajian Ipsos Malaysian Education Monitor 2025 antara 20 Jun hingga 4 Julai 2025, tujuh daripada sepuluh rakyat Malaysia menyokong cadangan melarang penggunaan media sosial bagi kanak-kanak berumur bawah 14 tahun itu.

Iklan
Iklan

Kajian itu mendedahkan 71 peratus responden di peringkat global dan 72 peratus di Malaysia bersetuju media sosial memberi kesan terhadap pendidikan kanak-kanak dan wajar dihadkan.

Hanya 25 peratus responden di peringkat global, manakala 24 peratus responsen di Malaysia yang tidak bersetuju dengan pandangan tersebut.

Iklan

Bagaimanapun, isu larangan penggunaan telefon pintar di sekolah menunjukkan pandangan yang berbelah bahagi dalam kalangan responden di Malaysia dan juga global.

Berdasarkan pemantauan pendidikan Ipsos terbabit, hanya 52 peratus rakyat Malaysia bersetuju dengan cadangan tersebut, berbanding 55 peratus purata global.

Iklan

Menariknya, hampir empat daripada sepuluh rakyat Malaysia tidak bersetuju larangan telefon pintar di sekolah, angka yang lebih tinggi berbanding purata global (30 peratus).

Menurut Ipsos, ibu bapa melihat telefon pintar sebagai keperluan untuk keselamatan dan komunikasi berterusan dengan anak-anak.

Justeru, kebimbangan lebih tertumpu kepada kandungan yang diakses berbanding peranti itu sendiri.

Kajian itu melibatkan 23,700 orang dewasa berumur bawah 75 tahun dari 30 negara termasuk 500 responden dari Malaysia.