KUALA LUMPUR – Jawatankuasa Hak Penduduk Kampung Sungai Baru mempersoalkan tindakan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) yang didakwa ‘masuk campur’ dalam isu petempatan berkenaan walaupun kawasan itu bukan sebahagian daripada pelan pembangunan Kampong Bharu.
Justeru, pengerusinya, Zainab Alias bersama penasihat, Muzaffar Razman menuntut Setiausaha PKB, Shamsuri Suradi meletakkan jawatan dalam perbadanan itu susulan rasa tidak puas hati terhadap perkembangan isu tersebut.
Muzaffar menegaskan PKB tidak seharusnya mengeluarkan kenyataan berhubung Kampung Sungai Baru kerana agensi itu hanya bertanggungjawab terhadap pembangunan Kampong Bharu semata-mata.
“Awak duduk diamlah. Sepatutnya PKB hanya ambil berat isu berkaitan Kampong Bharu, bukannya Kampung Sungai Baru,” katanya pada sidang media pada Jumaat.
Dalam masa sama, beliau turut mengecam Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa yang disifatkan berpihak kepada pemaju berbanding penduduk.
“Mengapa kamu membela pemaju? Kamu bukan sahaja membela, tetapi menjadi alat pemaju.
"Pemaju tak buat kenyataan, tetapi menteri dengan PKB yang keluarkan kenyataan untuk mereka," katanya.
Muzaffar berkata demikian merujuk kenyataan Dr Zaliha pada 12 September lalu yang menyarankan penduduk berbincang dengan pemaju dan bukannya kerajaan.
PKB sebelum ini memaklumkan sebanyak 236 daripada 328 pemilik rumah sudah bersetuju dengan pelan pembangunan semula berkenaan dengan pampasan bernilai RM62 juta telah dibayar.
Sementara itu, Zainab membangkitkan persoalan sama ada Shamsuri benar-benar memahami peranan PKB berdasarkan Akta Perbadanan Pembangunan Kampung Baru 2011 (Akta 733) yang menetapkan agensi tersebut hanya berfungsi sebagai fasilitator.
“Kenapa tiba-tiba dia wujud dalam keadaan kami di sini menyebelahi pemaju? Dia tiada kena-mengena, jangan masuk campur.
"Biar kami penduduk berurusan sendiri dengan pemaju,” katanya.
Pada masa sama, jawatankuasa berkenaan menzahirkan penghargaan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang prihatin terhadap nasib penduduk terjejas.
Muzaffar mendakwa pemaju tidak memiliki perintah mahkamah jelas, malah titah baginda menyatakan rasa sedih terhadap perobohan rumah penduduk telah meniupkan semangat baru buat mereka.
“Rumah tempat kami berteduh, tanah tempat kami berbakti diruntuhkan tanpa belas ihsan. Kami yakin kebenaran akan terserlah,” ujarnya.
Jawatankuasa terbabit turut menghargai keprihatinan Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani yang menyokong penduduk selepas mengesahkan Kampung Sungai Baru merupakan tanah kurniaan Sultan Selangor.