KOTA BHARU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menyerahkan laporan lengkap berhubung kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam masa terdekat.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, ketika ini proses siasatan sedang berjalan dan pihaknya memerlukan sedikit masa.
"Hal ini kerana siasatan itu melibatkan pelbagai pihak dan agensi," katanya semasa sidang akhbar pada Jumaat.
Sebelum itu beliau merasmikan Perhimpunan Pegawai Awam PDRM Ke-17 Sempena Peringatan Hari Polis Ke-218 di sini.
Menurut beliau, pada masa sama PDRM mahu satu tindakan yang lebih baik dalam proses siasatan supaya ia menjadi lebih sempurna.
Ujarnya, PDRM memberi jaminan ia akan diselesaikan dalam masa terdekat.
"Hal ini kerana banyak perkara yang perlu kita (PDRM) perlu siasat. Insya-ALLAH dapat kita laksanakan dalam masa terdekat," kata beliau.
Media sebelum ini melaporkan, keperluan inkues berkait kes kematian Allahyarham Syamsul Haris hanya akan diputuskan selepas AGC menerima laporan lengkap siasatan polis.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, berkata setakat ini AGC belum menerima laporan itu daripada polis yang difahamkan masih lagi menunggu laporan penuh bedah siasat kedua daripada pihak hospital.