KUALA LUMPUR - Bekas Akauntan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Mohd Khushairi Osman didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas 40 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah lebih RM3.8 juta, pada 2020 hingga tahun lalu.
Mohd Khushairi, 54, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Azrul Darus.
Mengikut 15 pertuduhan, lelaki itu didakwa menerima wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM2,694,339.78 daripada akaun simpanan milik dua individu dan beberapa syarikat, ke akaun bank milik tertuduh, di sebuah bank di Taman Tun Dr Ismail, si sini, di antara tahun 2020 hingga 2024.
Bagi 25 pertuduhan, dia dituduh memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM1,128,173.80 daripada akaun bank simpanan miliknya ke akaun bank beberapa individu dan syarikat antaranya GISB Travel and Tours Sdn Bhd, GISB Holdings Sdn Bhd serta GISB Mart Sdn Bhd, di tempat dan masa sama.
Bagi semua tuduhan, dia didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram pada masa kesalahan dilakukan, atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Sangari Ponnan mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin, bagi setiap pertuduhan.
"Termasuk syarat tambahan, melaporkan diri di Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman sekali setiap bulan, tidak mengganggu saksi.
"Dia juga perlu melaporkan kepada pihak pendakwaan jika berlaku sebarang perubahan kepada alamat kediamannya," katanya.
Bagaimanapun, peguam, Datuk Rosli Kamaruddin yang mewakili tertuduh merayu mahkamah mengguna pakai jaminan yang diberikan kepada tertuduh bagi kes yang dihadapi di Mahkamah Sesyen Shah Alam kerana kes ini mungkin dipindahkan ke Shah Alam untuk dibicarakan bersama.
"Sekarang, dia tidak mempunyai pekerjaan tetap dan hanya berpeluang untuk berniaga di pasar malam bagi menyara keluarga kerana semua akaun banknya termasuk milik keluarga telah dibekukan," katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim, Azrul kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi semua pertuduhan dan membenarkan syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah menetapkan sebutan kes pada 13 November depan.
Pada 10 September lalu, Khushairi didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam, atas 54 kes pengubahan wang haram membabitkan jumlah RM20.3 juta bermula tempoh sama.