MMA: Jangan hukum doktor, selesaikan masalah sistem kesihatan negara

Iklan
MMA menegaskan isu penghijrahan doktor tidak dapat diselesaikan dengan menuntut pampasan daripada Singapura, sebaliknya perlu ditangani melalui kenaikan elaun, laluan kerjaya jelas dan budaya kerja sihat - Gambar hiasan. Gambar kecil: Dr Thirunavukarasu

PUTRAJAYA – Cadangan untuk menuntut pampasan daripada Singapura kerana mengambil doktor yang dilatih di Malaysia tidak menyelesaikan punca sebenar masalah.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr R Thirunavukarasu berkata, doktor berhijrah bukan kerana ada negara lain yang mengambil mereka tetapi kerana keadaan dalam negara yang menolak mereka keluar.

Iklan
Iklan

“Laluan kerjaya terbantut, elaun bertugas atas panggilan yang rendah, budaya tempat kerja toksik dan hala tuju kerjaya yang tidak jelas menjadikan untuk kekal berkhidmat di dalam negara sesuatu yang tidak menarik.

“Faktor penolak jauh lebih kuat daripada faktor tarikan di luar negara dan walaupun isu penghijrahan tidak dapat dihentikan sepenuhnya, ia boleh diminimumkan jika masalah dalaman ditangani,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Beliau berkata, MMA menghargai langkah positif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk usaha penyerapan doktor kontrak dan pemansuhan sistem kontrak 10 tahun.

Namun, katanya, pengumuman itu perlu dizahirkan melalui tindakan segera terutama melaksanakan kenaikan elaun bertugas atas panggilan (ETAP) yang telah diluluskan pada April lalu.

Iklan

“Ia tidak sepatutnya ditangguhkan sehingga 2026. Pelaksanaan perlu dilakukan segera bagi memulihkan semangat dan keyakinan para doktor terhadap kerajaan,” ujarnya.

MMA turut menegaskan hanya graduan tajaan kerajaan atau pegawai dalam ikatan perkhidmatan dengan obligasi jelas wajar dikenakan bayaran pampasan sekiranya berhijrah manakala graduan yang membiayai sendiri pengajian tidak harus dihukum.

Beliau berkata, sebarang kerangka pampasan perlu adil, telus dan sejajar dengan norma antarabangsa berkaitan mobiliti tenaga kerja.

Pada masa sama, MMA menggesa kerajaan mengambil pendekatan menyeluruh melibatkan kerjasama rentas agensi seperti KKM, Kementerian Kewangan dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi menangani isu penghijrahan doktor.

“Ini termasuk pelaksanaan segera kenaikan ETAP, laluan kerjaya yang jelas, beban kerja munasabah dengan norma penempatan sumber manusia mencukupi serta budaya tempat kerja yang menyokong,” katanya.

Jelas beliau, beberapa inisiatif sokongan seperti norma penempatan sumber manusia, papan pemuka kebangsaan sumber manusia kesihatan dan platform “Suka Sama Suka” untuk pertukaran penempatan perlu dilaksanakan tanpa berlengah.

“Malaysia tidak mampu terus kehilangan doktor. Penyelesaiannya bukan dengan menuntut pampasan daripada pihak lain tetapi dengan mewujudkan persekitaran di mana doktor berasa dihargai, disokong dan diyakinkan tentang masa depan kerjaya mereka,” katanya.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan sebelum ini mencadangkan supaya Malaysia menuntut pampasan daripada Singapura berhubung pengambilan doktor dan jururawat yang dilatih di negara ini.

Beliau mencadangkan bayaran pampasan atau levi dikenakan ke atas majikan di Singapura bagi menggantikan kos latihan ditanggung Malaysia, namun menegaskan pekerja kesihatan yang membiayai sendiri pengajian tidak wajar dibebankan.