Menteri Pertahanan dilarang keluar kenyataan kes kematian Syamsul Haris

Iklan
Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin.

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, membenarkan permohonan larangan sementara terhadap Menteri Pertahanan dan kementeriannya supaya tidak mengeluarkan kenyataan berhubung kematian pelatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (Palapes) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, Allahyarham Syamsul Haris Shamsudin.

Hakim, Adlin Abdul Majid memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45, selaku pemohon agar tiada kenyataan dibuat mana-mana pihak, sementara menunggu laporan penuh siasatan polis dan bedah siasat kedua, Syamsul Haris, 22.

Iklan
Iklan

Hakim berkata, responden perlu mendapatkan arahan berkenaan aku janji yang akan diberikan.

“Sementara menunggu pelupusan kes ini, responden tidak boleh menerbitkan sebarang kenyataan berkenaan kematian Syamsul Haris,” katanya kemudian menetapkan 26 September depan untuk pengurusan kes.

Iklan

Semasa prosiding, peguam, Datuk Naran Singh yang mewakili pemohon berkata, banyak kenyataan telah dikeluarkan oleh Menteri Pertahanan termasuk pegawai tentera berkaitan kematian pelatih Palapes itu.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan Roziza Sidek mewakili Menteri Pertahanan dan kementerian itu sebagai responden berkata, pihaknya baru sahaja menerima permohonan secara rasmi pada pagi Khamis.

Iklan

“Saya belum mendapat arahan daripada responden, jadi saya mohon mahkamah menetapkan tarikh baharu berkaitan berhubung perkara berkenaan,” katanya.

Berdasarkan usul notis permohonan itu, Ummu Haiman memohon perintah interim terhadap responden, supaya tiada kenyataan dibuat kerana ia dikhuatiri boleh mengganggu perjalanan siasatan termasuk laporan bedah siasat.

Mangsa meninggal dunia ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Darat (Pulada) Ulu Tiram pada 28 Julai lalu.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dilaporkan berkata, siasatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) melalui jawatankuasa siasatan itu mendapati semua saksi termasuk pegawai dan jurulatih mengesahkan tiada kelakuan atau tindakan berbentuk penderaan sepanjang tempoh latihan.

Mohamed Khaled berkata, latihan yang diadakan dari 27 Julai hingga 2 Ogos itu dilaksanakan mengikut garis panduan serta prosedur yang ditetapkan.