MELAKA – Seorang wanita tidak menyangka panggilan telefon yang berulang kali tidak berjawab menjadi petanda tragis apabila ibu saudaranya bersama anaknya ditemui meninggal dunia di dalam kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora.
Mangsa, Zabanah Abu Hussin, 57, dan anaknya Intan Nur Shafiqah Othman, 25, dipercayai dalam perjalanan untuk singgah ke rumah kakak Zabanah, hanya 50 meter dari lokasi kejadian, sebelum pulang ke kediaman mereka di Taman Kelemak Jaya, Alor Gajah.
Anak saudara mangsa, Khadijah Abu Bakar, 37, sudah menjadi rutin harian dua beranak itu akan singgah di rumah ibunya selepas selesai bekerja di sebuah kedai makan di Cheng.
“Malam tadi kami dah siap masak, tapi berasa pelik mereka tak sampai-sampai dan telah hubungi telefon arwah 20 kali tapi tak berjawab, WhatsApp pun tak dapat.
"Namun kira-kira jam 11 malam, saya terima panggilan daripada abang yang memaklumkan penemuan ibu dan anak itu tidak sedarkan diri dalam kenderaan yang diparkir di tepi jalan, kira-kira 50 meter dari rumah mak," katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Melaka di sini, pada Khamis.
Tambahnya, bergegas ke lokasi kejadian bersama ahli keluarga yang lain dan cuba memberi bantuan pernafasan (CPR) tetapi mereka tidak lagi bernyawa.
"Ketika itu bau gas memang kuat dalam kereta dan ada penduduk kampung yang beritahu nampak kereta mangsa diparkir di kawasan itu sejak jam 9 malam," ujarnya.
Jelasnya, arwah sebelum ini turut menceritakan kenderaan yang sering dinaiki mereka itu mengalami kerosakan namun baru siap dibaiki pada Rabu.
Terdahulu Sinar Harian melaporkan dua beranak ditemui meninggal dunia di dalam sebuah kereta pelbagai guna (MPV) Proton Exora di Jalan Solok Hilir Paya Rumput, Cheng, di sini pada awal pagi Khamis.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, mangsa yang merupakan seorang ibu tunggal bersama anak perempuannya dipercayai lemas akibat terhidu gas karbon monoksida.
Beliau menegaskan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut sementara menunggu keputusan siasatan penuh dan menasihatkan orang ramai agar tidak membuat spekulasi.