Guru sanggup buat pinjaman peribadi, gadai barang kemas RM340,500 angkara 'scammer'

Iklan
Seorang guru wanita terpaksa membuat pinjaman peribadi lebih RM280,000 selain menggadaikan barang kemas selepas diperdaya scammer.

KUANTAN - Seorang guru wanita terpaksa membuat pinjaman peribadi lebih RM280,000 selain menggadaikan barang kemas selepas diarahkan menyediakan wang ikat jamin gara-gara didakwa terlibat kes pengubahan wang haram.

Mangsa berusia 42 tahun dipercayai akur arahan 'pegawai polis' dan 'pendakwa raya' kerana bimbang dikenakan tindakan tanpa menyedari situasi dilalui hanya perangkap sindiket penipuan.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, ekoran itu, mangsa berputih mata apabila kerugian RM340,500.

Menurutnya, mangsa menerima panggilan daripada suspek menyamar sebagai wakil insurans 27 April lalu berkaitan kes dihadapi.

Iklan

"Mangsa dirujuk kepada suspek lain menyamar pegawai polis dan pendakwa raya untuk tindakan lanjut sebelum diarahkan menyediakan wang ikat jamin.

"Mangsa juga diarahkan membuka akaun bank baharu dan menukar nombor telefon yang didaftarkan," katanya.

Iklan

Yahaya berkata, mangsa akur kerana bimbang dikenakan tindakan sehingga nekad membuat pinjaman peribadi lebih RM280,000 selain menggadaikan barang kemas.

"Dalam tempoh 15 Julai hingga 15 September lalu, mangsa membuat 13 transaksi pemindahan wang ke lapan akaun berbeza melibatkan jumlah RM117,000.

"Semakan penyata bank pada 17 September lalu juga mendapati 24 transaksi tidak sah berjumlah RM223,500 dipercayai dilakukan sindiket setelah memperoleh akses ke akaun simpanannya," katanya.

Beliau berkata, menyedari ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis di sebuah balai di Maran.

Justeru itu, Yahaya menasihatkan orang ramai yang menerima panggilan meragukan agar segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkenaan bagi mengelakkan dari menjadi mangsa penipuan.

"Masyarakat juga diingatkan supaya membuat semakan nombor akaun yang diterima di pautan https://semakmule.mp.gov.my/ terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi.

"Orang awam yang mengesyaki menjadi mangsa penipuan dinasihatkan segera menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di talian 997," katanya.