SHAH ALAM - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menegaskan komitmennya dalam menegakkan integriti apabila seramai 60 pegawai dibuang kerja atas pelbagai salah laku sejak tahun 2022.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, jumlah itu direkodkan sehingga tahun ini.
Menurutnya, selain itu, sebanyak 301 kes tatatertib masih dalam tindakan dan siasatan termasuk 227 kes yang melibatkan pintu masuk negara.
"Sepanjang tahun 2024, JIM telah menyelesaikan 254 kes tatatertib, manakala pada 2025 pula sebanyak 199 kes berjaya ditangani," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, JIM menegaskan tindakan berterusan itu membuktikan ketelusan jabatan melaksanakan tanggungjawab tatatertib berlandaskan prinsip Kerajaan Madani.
Katanya, tindakan ini membuktikan komitmen JIM untuk memastikan setiap warga kerja kekal berintegriti, beramanah dan bertanggungjawab dalam melindungi kedaulatan negara serta menjaga kepentingan rakyat.
"JIM memandang serius berhubung isu salah laku dan tidak akan berkompromi terhadap pegawai dan anggota yang terlibat.
"Isu keselamatan negara amat ditekankan JIM dalam usaha membendung masalah PATI dan jenayah melibatkan warga asing," ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan pelbagai barangan mewah termasuk barang kemas seberat kira-kira 3.2 kilogram bernilai anggaran RM1.6 juta dan 75 kepingan emas bernilai kira-kira RM400,000 disita daripada enam individu termasuk lima pegawai JIM untuk siasatan kes counter setting.
Sitaan itu dilakukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor pada minggu lalu.
Operasi terbabit telah menahan sekurangnya 20 pegawai dan anggota JIM serta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS).