Muflis muda, tekanan jiwa

Iklan
Statistik menunjukkan bahawa sejak tahun 2020 hingga kini, seramai 5,272 belia berumur 34 tahun ke bawah telah diisytiharkan muflis. Gambar hiasan

BELIA Malaysia hari ini berdepan pelbagai cabaran serius iaitu dua daripada yang paling ketara ialah kebankrapan dan tekanan kesihatan mental dalam kalangan pelajar.

Statistik menunjukkan bahawa sejak tahun 2020 hingga kini, seramai 5,272 belia berumur 34 tahun ke bawah telah diisytiharkan muflis. Daripada jumlah itu, 5,189 dalam lingkungan umur 25 hingga 34 tahun, dan 83 lagi di bawah 25 tahun.

Iklan
Iklan

Sementara itu, kesihatan mental pelajar juga semakin membimbangkan. Laporan Tinjauan Morbiditi dan Kesihatan Kebangsaan (NHMS) 2023 mendedahkan bahawa masalah mental dalam kalangan remaja dan belia meningkat dari 7.9 peratus (kira-kira 424,000 individu) pada tahun 2019 kepada 16.5 peratus (922,318 individu) pada 2023.

Tambahan pula, pelbagai kajian menunjukkan peningkatan gejala kemurungan, kebimbangan dan tekanan akademik dalam kalangan pelajar institusi pendidikan tinggi (IPT) dan sekolah menengah.

Iklan

Punca kebankrapan dalam kalangan belia kebanyakannya ialah pinjaman peribadi, diikuti oleh penggunaan kredit yang tidak terkawal dan kurangnya literasi kewangan.

Bagi masalah mental pula, tekanan akademik, beban kewangan, penggunaan media sosial berlebihan dan kekurangan sokongan emosi menjadi faktor utama.

Iklan

Kerajaan sudah memperkenalkan beberapa usaha seperti program RMK13 Pemerkasaan Belia, literasi kewangan belia dan Modul Kesihatan Mental dalam sekolah dan IPT.

Namun keberkesanannya perlu dipertingkat, misalnya bilangan kaunselor di sekolah dan IPT ditambah, sokongan psikologi melalui klinik komuniti dikukuhkan dan pendidikan kewangan diperkenalkan lebih awal di sekolah menengah.

Selain kerajaan, peranan ibu bapa dan komuniti juga amat penting. Didikan kewangan bermula di rumah, sementara sokongan emosi mampu mengurangkan tekanan anak-anak.

Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta pula boleh menjadi rakan strategik melalui program kesedaran, kursus kemahiran hidup serta kempen media sosial yang lebih berkesan.

Belia adalah aset masa depan Malaysia. Jika isu kebankrapan dan tekanan mental ini dibiarkan tanpa tindakan konkrit, impaknya bukan sahaja dirasai dalam kehidupan individu tetapi juga terhadap ekonomi dan keamanan masyarakat.

Kita memerlukan dasar yang menyeluruh dan bersepadu, bukan hanya responsif tetapi juga pencegahan agar generasi sekarang dapat tumbuh dengan lebih stabil, sihat dan berdaya tahan.