Bimbang diperalat jadi 'ejen Israel' tanpa sedar

Iklan
Laporan muka depan Sinar Harian pada Khamis mengenai kebimbangan jadi pengintip Israel. Gambar kecil: Siraj

SHAH ALAM – Teknologi kecerdasan buatan (AI) dan aplikasi digital yang semakin canggih mendedahkan pengguna kepada risiko pengintipan tanpa disedari termasuk diperalatkan pihak luar seperti Israel.

Presiden Persatuan Pengguna Siber Malaysia (MCCA), Siraj Jalil berkata, isu privasi hari ini semakin sukar dikawal kerana hampir semua aplikasi memerlukan akses tertentu ke peranti pengguna.

Iklan
Iklan

“Nak dapatkan privasi mutlak sebenarnya mustahil. Aplikasi yang kita guna termasuk AI akan minta akses mikrofon, kamera atau gambar. Kalau tak beri akses penuh, banyak fungsi jadi terbatas.

“Keadaan itu menjadikan amalan keselamatan siber semakin rumit kerana aplikasi dibangunkan selari tabiat pengguna yang akhirnya membuka ruang kepada pencerobohan privasi,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Iklan

Ditanya mengenai kebimbangan Israel memantau rakyat Malaysia melalui peranti, Siraj tidak menolak kemungkinan itu.

Katanya, telefon pintar kini boleh dieksploitasi untuk tujuan pemantauan walaupun sebelum ini dianggap selamat termasuk ada aplikasi popular global dibangunkan atau dimiliki syarikat Israel, misalnya dalam sektor keselamatan siber, fintech, gaming dan spyware.

Iklan

“Jika digunakan tanpa sedar, aplikasi boleh mengutip metadata untuk disalurkan kepada agensi Israel. Serangan siber melalui penggodaman dan pancingan data juga berlaku. Contohnya e-mel, WhatsApp atau pautan palsu yang mencuri data log masuk sebelum digunakan untuk sebar mesej dan menjejak rangkaian sosial mangsa,” jelasnya.

Bagaimanapun, ujar beliau, pengguna boleh mengurangkan risiko dengan mengehadkan maklumat peribadi di dalam telefon pintar.

“Jangan simpan data sulit atau gambar peribadi. Anggap telefon bukan ruang privasi mutlak. Sekurang-kurangnya kita hadkan risiko kalau berlaku kebocoran data atau pelanggaran keselamatan,” katanya.