SERDANG BEDAGAI - Penduduk gempar dengan penemuan rangka manusia dalam batang pokok tumbang.
Kejadian itu berlaku di Desa Pematang Ganjang, Kecamatan Sei Rampah, Kabupaten Serdang Bedagai (Sergai), Sumatra Utara di Indonesia.
Ia pertama kali ditemui dua penduduk, Rian dan Aldi yang mahu mengambil buah sawit.
"Pohon itu sudah mati kira-kira empat tahun lalu, namun baru tumbang kerana angin kencang, baru-baru ini.
"Dua warga itu terkejut selepas menjumpai tulang manusia dalam rekahan batang pokok tersebut," menurut Tribun Jabat memetik kenyataan Kasi Humas Polres Sergai, Iptu LB Manulang pada Rabu.
Siasatan awal mendapati rangka itu milik M Yudha, 23, yang dilaporkan hilang sejak Ogos 2023.
Pihak berkuasa turut mengumpulkan sejumlah barang bukti termasuk seluar panjang, kemeja T, telefon bimbit Nokia dan gelang aluminium dari lokasi kejadian yang terletak hanya kira-kira 20 meter dari rumah keluarganya.
Polis masih menunggu keputusan autopsi dan ujian DNA walaupun ahli keluarganya begitu yakin ia milik mangsa yang dicari selama ini.
Menurut polis, mereka belum dapat mengesahkan sama ada ia merupakan kes bunuh atau sebaliknya.
"Sebelum hilang, Yudha ada memaklumkan kepada keluarganya bahawa dia mahu merantau. Tetapi, dia pergi tanpa membawa dokumen pengenalan diri hingga mencetuskan pelbagai teori ketika ini
"Kami telah mengambil keterangan beberapa orang saksi termasuk individu terakhir yang ditemuinya sebelum hilang. Siasatan lanjut akan dijalankan setelah identiti sebenar tengkorak itu diperoleh," ujar
Kanit Reskrim Polsek Firdaus, Iptu Anggiat Sidabutar. - Agensi