Kenduri kahwin atau pameran barang kemas?

Iklan
Trend hantaran kahwin mewah semakin menjadi-jadi, namun pasangan muda akhirnya berdepan hutang selepas majlis berakhir. Gambar hiasan

SETIAP kali menghadiri kenduri kahwin, kita teruja hendak jumpa saudara-mara, makan lauk pengantin dan meraikan pasangan baharu.

Namun, sejak kebelakangan ini, ada trend pelik yang mencuri perhatian yang mana hantaran kahwin semakin menjadi pentas pameran barangan mewah.

Iklan
Iklan

Masuk sahaja dewan, mata tetamu disambut dengan dulang yang penuh beg berjenama, emas bertingkat-tingkat, telefon pintar terkini, malah ada yang siap letak kunci kereta. Rasa-rasanya, itu kenduri kahwin atau ekspo barang kemas?

Zaman dulu, hantaran lebih sederhana. Memadai sirih junjung, sepasang kasut, kain atau buah-buahan.

Iklan

Nilainya bukan pada harga tetapi simbolik dan ingatan. Kini, semua berlumba-lumba mahu nampak gah. Media sosial pula jadi saksi, semakin banyak 'likes', hati pun lebih puas.

Dalam keghairahan itu, ada pasangan muda yang terpaksa berhutang. Akhirnya, selepas majlis tamat, beban kewangan pula yang menunggu.

Iklan

Lebih menyedihkan Merak Jalanan, tetamu balik bukan bercerita tentang pengantin, tetapi sibuk mengulas jenama beg atau besar rantai yang dipamerkan.

Ada pula yang sibuk rakam hantaran untuk dijadikan content TikTok, siap dengan ulasan seolah-olah mereka jurujual barang kemas.

Hakikatnya, majlis kahwin bukan medan pertandingan siapa lebih mewah. Ia sepatutnya ruang meraikan cinta dan doa restu.

Malangnya, ada keluarga yang sanggup meminjam semata-mata mahu menjaga maruah dan elak malu.

Akhirnya, majlis sehari meninggalkan hutang bertahun. Apa gunanya pelamin gah, hantaran mewah, tetapi rumah tangga bermula dengan beban?

Ingatlah, kebahagiaan bukan pada nilai hantaran, sebaliknya pada cinta dan hormat antara suami isteri.

Kalau trend ini berterusan, tidak mustahil suatu hari nanti ada pula hantaran berupa geran rumah atau kunci helikopter.

Masa itu, kita hendak panggil apa? Kenduri kahwin atau pameran antarabangsa?