Bumbung rumah pecah, kereta rosak gara-gara lelaki tidak siuman

Iklan
Bumbung rumah dan kereta milik Mohd Fazli Nul Hakik terjejas akibat insiden tersebut.

SHAH ALAM - Seorang lelaki berkongsi detik cemas apabila kediaman dan keretanya rosak teruk selepas seorang anggota polis terjatuh di bumbung rumahnya ketika cuba menahan seorang lelaki dipercayai tidak siuman pada 5 September lalu.

Pegawai pemasaran, Mohd Fazli Nul Hakik Tamrin, 25, berkata, dia masih terkejut dengan insiden itu yang menyebabkan bumbung rumah pecah selain keretanya turut rosak, sekali gus mengakibatkan kerugian lebih RM3,500.

Iklan
Iklan

Mohd Fazli turut menceritakan kejadian yang berlaku di kawasan perumahan Taman Sri Tanjung, Semenyih itu menerusi perkongsian di akaun TikTok miliknya.

“Lebih kurang jam 8.30 malam, ketika sedang mandi tiba-tiba dengar orang menjerit minta tolong di atas bumbung rumah.

Iklan

“Saya keluar tengok, ada seorang lelaki tidak berbaju sambil memegang pisau. Katanya ada orang hendak bunuh dia dan dia suruh panggil polis.

“Saya terus telefon polis tetapi selepas hampir dua jam dipujuk, dia tetap tidak mahu turun, malah turut mengugut mahu menikam diri jika polis datang dekat,” katanya pada Rabu.

Iklan

Menurut Mohd Fazli, usaha memujuk lelaki berkenaan mengambil masa lebih lima jam sebelum dia akhirnya berjaya ditahan.

“Akhirnya dengan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kementerian Kesihatan (KKM) serta orang awam, lelaki itu berjaya ditangkap.

“Ada juga beberapa anggota yang cedera selepas terjatuh semasa operasi,” katanya.

Meskipun berasa sedih dengan kerugian yang ditanggung, Mohd Fazli bersyukur kerana tiada nyawa yang terkorban dalam kejadian itu.

“Bumbung rumah, kereta saya dan rumah jiran-jiran pun ada yang rosak. Apa pun, syukur semua selamat.

“Terima kasih banyak kepada PDRM, Bomba dan KKM yang benar-benar berkorban masa serta tenaga,” ujarnya.