Jangan takut lapor rasuah, selamatkan rezeki anak bangsa - MCW

Iklan
Pendekatan pendidikan dan advokasi penting bagi meningkatkan kesedaran dalam melapor rasuah. (Gambar kecil: Jais)

SHAH ALAM - Kesedaran masyarakat untuk tampil menyalurkan maklumat yang sahih memainkan peranan penting dalam usaha memerangi rasuah secara menyeluruh.

Tindakan itu akan membantu agensi penguatkuasaan melaksanakan tugas mengikut peruntukan undang-undang.

Iklan
Iklan

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim berkata, antara faktor individu tidak mahu tampil menyalurkan maklumat kerana mereka bimbang identiti terbongkar dan dikenakan tindakan selain menganggap laporan dibuat sia-sia sekiranya tiada tindakan.

"Justeru itu, pendekatan pendidikan dan advokasi penting bagi meningkatkan kesedaran terutama di institusi pendidikan kerana melapor rasuah ialah jihad sosial.

Iklan

"Selain itu, perbanyakkan kempen di media sosial yang memaparkan kisah positif pemberi maklumat mampu membawa perubahan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Menurut beliau, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711) juga perlu diperkukuhkan bagi meningkatkan keberkesanan penyaluran maklumat.

Iklan

"MCW berpandangan bahawa kelemahan Akta 711 adalah ruang lingkup perlindungan yang sempit apabila pemberi maklumat hanya dilindungi jika laporan dibuat kepada pihak berkuasa tertentu dan tidak termasuk saluran lain seperti media atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

"Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis masih saluran utama namun kami berpandangan bahawa perlu ada mekanisme alternatif seperti platform bebas di bawah ombudsman atau badan neutral bagi meningkatkan keyakinan rakyat untuk tampil menyalurkan maklumat," katanya.

Tambah Jais, gejala rasuah tidak akan mati jika masyarakat bertindak terus berdiam diri.

"Jangan fikir anda melapor untuk diri sendiri sahaja sebaliknya ia menyelamatkan rezeki anak bangsa," katanya.