SHAH ALAM - Usaha pihak berkuasa dalam menangani jenayah hidupan liar perlu digandakan bagi melindungi keselamatan spesies yang diancam kepupusan kritikal termasuk Harimau Malaya.
Pengarah Kanan, Konservasi World Wide Fund for Nature Malaysia (WWF-Malaysia), Dr Henry Chan berkata, ia susulan penemuan bangkai harimau belang dalam sebuah kereta dipercayai hasil kegiatan pemburuan secara haram oleh tiga orang lelaki di Johor pada Selasa.
Ujar Henry, justeru sokongan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak agensi taman negeri memainkan peranan penting dalam usaha menangani isu tersebut.
“Membunuh salah satu daripada kurang 150 ekor harimau yang masih ada di Malaysia bukan sahaja tidak bertanggungjawab, malah amat kejam.
“Jenayah sebegini adalah penghinaan terhadap negara dan mesti dihukum dengan kuat dan tanpa kompromi mengikut undang-undang.
“Kami menggesa pihak berkuasa mengenakan hukuman ini sepenuhnya, bagi memberi mesej yang jelas bahawa Malaysia tidak akan bertolak ansur dengan jenayah bunuh ke atas ikon negara,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, Komander Pasukan Simpanan Persekutuan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (SAC) Rosli Md Yusof pada Selasa berkata, cubaan tiga lelaki menyimpan bangkai seekor harimau belang berjaya dipatahkan dalam Operasi Bersepadu Khazanah di Felda Tenggaroh, Mersing pada Selasa.
Menurut Rosli, serbuan dilakukan Unit Risikan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Bukit Aman bersama Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor hasil maklumat awam mengenai kegiatan pemburuan haram.
Kata Henry, tindakan pemburuan haram itu tidak menunjukkan sebarang hormat terhadap alam semula jadi, belas kasihan dan penghayatan terhadap peranan penting harimau dalam mengekalkan keseimbangan ekosistem.
“Kami memuji tindakan pantas Bukit Aman dan Perhilitan menahan suspek, namun penghargaan utama harus diberikan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat.
“Ini membuktikan betapa pentingnya peranan masyarakat untuk terus berwaspada dan melaporkan jenayah hidupan liar tanpa ragu,” ujar beliau.
Menurutnya, melindungi spesies berkenaan bukan sekadar isu pemuliharaan, malah ia tentang melindungi maruah, warisan dan masa depan negara.
“WWF-Malaysia bersedia untuk terus bekerjasama dengan agensi kerajaan, pihak penguatkuasa, rakan kongsi dan masyarakat demi memastikan tragedi ini menguatkan, bukan melemahkan azam kita untuk menghapuskan jenayah hidupan liar buat selama-lamanya,” kata beliau.