PASIR GUDANG – Polis menahan seorang lelaki selepas merosakkan mesin pengeluaran automatik (ATM), mesin deposit tunai (CDM) dan kereta di hadapan sebuah bank menggunakan cangkul di Taman Bukit Dahlia.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintenden Vikra Mathitthan @ Victor Genason berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 7.46 pagi, pada Selasa.
Jslasnya, kejadian tersebut dilaporkan seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun dan video insiden tersebut tular dalam media sosial.
"Bertindak atas maklumat polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun yang juga suspek kejadian
"Turut dirampas, sebatang cangkul dipercayai digunakan semasa kejadian dan dadah jenis syabu seberat 0.9 gram," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Beliau berkata, semakan mendapati suspek memiliki enam rekod lampau membabitkan jenayah dan dadah.
“Ujian saringan air kencing juga mendapati lelaki itu positif methamphetamine.
"Suspek kini direman selama tiga hari hingga 19 September untuk siasatan lanjut.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Vikra Mathitthan menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih sehingga menimbulkan kegusaran masyarakat.