Banjir lumpur: Pemaju langgar syarat, MBSP henti kerja tanah

Iklan
Keadaan kawasan terjejas akibat banjir lumpur yang berlaku di Taman Guar Perahu, pada petang Selasa.

BUKIT MERTAJAM - Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) mengeluarkan Notis Berhenti Kerja terhadap pemaju bagi projek pembangunan di Lot PT 63 (Lot 3509), Mukim 20, selepas didapati berlaku pelanggaran syarat di bawah Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

Ia susulan banjir kilat dan berlumpur yang berlaku di Taman Guar Perahu, di sini pada petang Selasa.

Iklan
Iklan

Menerusi satu kenyataan, MBSP memaklumkan hasil pemeriksaan mendapati pemaju gagal mematuhi syarat kelulusan pelan kerja tanah.

"Disebabkan itu ia telah menyebabkan limpahan air lumpur ke kawasan lot-lot berhampiran termasuk di Taman Guar Perahu.

Iklan

"Selain itu, pemaju juga didapati tidak menyediakan kolam mendapan yang berfungsi dengan sempurna termasuk tidak mengadakan parit tanah sementara.

"Mereka juga tidak menyediakan kolam mendapan berfungsi dengan baik, tidak membina parit tanah sementara serta tidak menyiapkan ban pengadang di sepanjang sempadan taman berjiran,"menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Iklan

Banjir kilat dan berlumpur yang berlaku di Taman Guar Perahu, pada petang Selasa.

Sehubungan itu, MBSP mengarahkan pemaju menghentikan serta-merta semua kerja tanah di tapak berkenaan.

Dalam masa sama, pihak pemaju turut dikehendaki mengemukakan pelan mitigasi terkini untuk kelulusan MBSP termasuk cadangan pembesaran kolam mendapan dan pembinaan parit tanah, selain melaksanakan kerja pembersihan segera di parit, jalan dan kediaman terjejas.

"Arahan tambahan juga termasuk memasang 'hoarding' di kawasan yang belum dilengkapi tembok pengadang serta melaksanakan langkah mitigasi yang dicadangkan tanpa berlengah," tambah kenyataan itu lagi.

Sebelum ini, media melaporkan kira-kira 240 penduduk di Taman Guar Perahu Indah, Taman Guar Perahu dan Padang Temusu di Penanti dilanda banjir kilat selepas hujan lebat kira-kira jam 5.15 petang.

Air bercampur selut dan lumpur bukan sahaja memasuki rumah penduduk malah menenggelamkan beberapa laluan utama.

Kejadian itu menjejaskan hampir 30 keluarga selain menyebabkan kerosakan kepada tiga kenderaan serta pelbagai peralatan rumah.

Penduduk menyifatkan banjir kali ini antara yang paling buruk sejak beberapa tahun kebelakangan.

Sementara itu, MBSP menegaskan tindakan penguatkuasaan diambil bagi memastikan isu berulang dapat diatasi, selain melindungi keselamatan penduduk sekitar projek pembangunan tersebut.