HARAPAN perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, untuk memulakan kempen Masters China Super 750 dengan langkah kanan tidak kesampaian apabila tersingkir seawal pusingan pertama di Shenzhen Arena pada Rabu.
Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Paris 2024 itu terpaksa menarik diri akibat kecederaan ketika menentang pemain pilihan ke-15 dunia, Lin Chun-Yi dari Taiwan, biarpun berpeluang menamatkan perlawanan lebih awal.
Zii Jia, 27, bermula cemerlang apabila menamatkan set pertama dengan kemenangan 21-17 selepas 18 minit permainan.
Momentum itu diteruskan dalam set kedua apabila pemain ranking ke-42 dunia itu mendahului 9-4, namun Chun-Yi bangkit menyamakan kedudukan sebelum memimpin 17-15.
Walaupun Zii Jia berjaya mengutip mata penting untuk meraih mata kemenangan pada kedudukan 20-19, Chun-Yi tampil tenang untuk mengheret permainan ke set penentuan selepas menang 22-20.
Pada set ketiga, prestasi Zii Jia terus diuji apabila ketinggalan 6-14 sebelum beliau memberi isyarat kepada pengadil bahawa tidak dapat meneruskan perlawanan, sekali gus menghadiahkan kemenangan percuma kepada lawan.
Sementara itu, Team Lee Zii Jia (LZJ) tetap menzahirkan penghargaan kepada penyokong setia yang terus memberikan sokongan sepanjang kejohanan berlangsung di Shenzhen biarpun terkandas awal dalam saingan Masters China 2025.
“Terima kasih Shenzhen. Kami menamatkan kempen Masters China 2025 dengan setiap titik keringat yang sudah diberikan.
“Kami amat menghargai segala sokongan dan kesabaran. Bersama-sama, kita akan kembali ke tahap sebenar,” demikian kenyataan rasmi Team LZJ menerusi media sosial.