SHAH ALAM – Cucu kepada bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela, iaitu Nkosi Zwelivelile Mandela menaiki kapal bersama dua sukarelawan Malaysia dalam konvoi misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) menuju Gaza bagi menentang sekatan yang dikenakan Israel.
Perkara tersebut disahkan oleh Pengasas Cinta Salam Malaysia (CSM), Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman menerusi hantaran di Facebook.
Menurutnya, Nkosi merupakan peserta terakhir yang menyertai mereka.
“Kalau kalian ingin tahu, antara tokoh berpengaruh yang ada di dalam kapal kami termasuklah Greta Thunberg, Yasemin Acar dan Franciszek Wojciech (Ahli Parlimen Poland).
“Maka lengkaplah sudah barisan kami. Dari Tunisia kami berangkat, membawa doa dan semangat dunia. Semoga layar ini menjadi saksi bahawa Palestin tidak pernah bersendirian,” tulisnya.
Seorang lagi peserta Malaysia, Iylia Balqis Suhaimi turut berada dalam kapal sama.
Mereka kini memasuki perairan antarabangsa menuju ke titik temu bersama peserta yang berlayar dari Itali, sebelum kesemua kapal terlibat bergerak bersama-sama menuju Gaza.
GSF merangkumi lebih 40 kapal dengan penyertaan lebih 800 aktivis dari 45 negara, termasuk tokoh hak asasi manusia, doktor dan sukarelawan kemanusiaan.
Misi tersebut mengulangi usaha antarabangsa terdahulu untuk memecah kepungan rejim Zionis demi menyalurkan bantuan secara langsung kepada Gaza walaupun berdepan risiko dihalang atau diserang tentera laut Israel.