Misi Flotilla: Malaysia bawa isyarat suara umat tidak padam - Mapim

Iklan
Dua kumpulan sukarelawan Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla menuju Gaza membawa suara kemanusiaan, bersama lebih 800 aktivis dari 45 negara menuntut pembukaan koridor bantuan.

SHAH ALAM – Dua kumpulan sukarelawan Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) menuju Gaza membawa isyarat jelas bahawa suara umat tidak boleh dipadamkan.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berkata, dua kumpulan yang bakal bergabung di tengah lautan setelah masing-masing memulakan pelayaran dari Tunisia dan Itali itu bukan sekadar ekspedisi biasa.

Iklan
Iklan

“Setelah mengharungi gelombang ombak dari Barcelona hingga ke Tunisia, delegasi Malaysia Kumpulan A tetap teguh berlayar dengan satu tekad yang tidak tergugat.

“Mereka kini dalam perjalanan menuju lautan Gaza untuk bersatu dengan Kumpulan B yang sudah sedia menanti di lautan, menyatukan langkah demi misi besar ini.

Iklan

“Inilah ikhtiar untuk menghentikan perang, menolak kebuluran, dan memaksa dunia membuka koridor kemanusiaan yang selama ini disekat tanpa belas,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Menerusi hantaran sama, Mapim turut memuat naik video harapan para peserta Malaysia yang memohon doa rakyat Malaysia agar misi tersebut berjalan lancar.

Iklan

GSF merangkumi lebih 40 kapal dengan penyertaan lebih 800 aktivis dari 45 negara, termasuk tokoh hak asasi manusia, doktor dan sukarelawan kemanusiaan.

Misi tersebut merupakan kesinambungan usaha antarabangsa terdahulu untuk menyalurkan bantuan secara langsung kepada Gaza walaupun berdepan risiko dihalang atau diserang tentera laut Israel.

Mapim menegaskan, delegasi Malaysia dan semua peserta terlibat memilih untuk bertindak membawa suara semua.

“Kerana diam itu bersekongkol, dan pelayaran ini adalah suara yang menggoncang hipokrasi dunia.

“Sampai bila dunia mahu terus menutup mata? Sampai bila kita hanya sanggup melihat dari jauh, sedangkan saudara kita diserang saban hari?” soalnya.